BUKIT KAYU HITAM, 27 Okt – Malaysia dan Thailand berkerjasama mempromosikan pelancongan rentas sempadan menerusi pelancaran inisiatif “self-drive” atau memandu sendiri kenderaan hari ini, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai laluan dan aktiviti pelancongan kedua-dua negara.

Inisiatif Peta Pelancongan Memandu Sendiri Malaysia-Thailand itu berfungsi sebagai panduan perjalanan dengan menampilkan tarikan pelancongan di sepanjang laluan di Malaysia dan tarikan yang sama di sebelah Thailand. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dr. Yasmeen Yasim berkata inisiatif itu bagi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam mempromosikan kepelbagaian aktiviti pelancongan di kawasan sempadan. 

Beliau berkata kerjasama antara Tourism Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand itu tepat pada masanya memandangkan Malaysia menyasarkan ketibaan 2.3 juta pelancong dari Thailand tahun depan. 

“Inisiatif ini juga membuka peluang untuk kita meneroka segmen baharu terutama ketika persiapan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Matlamat kempen tersebut ialah untuk menarik 35.6 juta pelancong dan inisiatif pelancongan rentas sempadan dengan Thailand ini memainkan peranan penting untuk kita mencapai misi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian inisiatif Pelancongan Memandu Sendiri Malaysia-Thailand di sini hari ini.

Yasmeen berkata Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun depan, justeru negara berhasrat mengukuhkan kerjasama serantau dan meningkatkan inisiatif pelancongan bersama untuk menjadi kuasa ekonomi yang kompetitif.

Beliau juga menggalakkan pihak berkepentingan dan pemilik produk untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ditawarkan menerusi inisiatif itu. 

“Inilah masanya untuk meningkatkan kemahiran, menambah baik dan mempelbagaikan produk serta fasiliti kita. Kedua-dua sektor kerajaan dan swasta memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pelancong memperoleh pengalaman bermakna,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Gabenor bagi Pemasaran Antarabangsa (Asia dan Pasifik Selatan) Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand Pattaraanong Na Chiangmai berkata kerajaan Thailand sentiasa mencari peluang untuk mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai destinasi pelancongan global dan menggalakkan pelancongan rentas sempadan. 

Beliau berkata Malaysia menyumbang kepada kedatangan pelancong ke dua terbesar ke Thailand, iaitu selepas China.

“Statistik awal menunjukkan dari 1 Jan hingga 30 Sept lepas, Thailand menyambut lebih empat juta pelancong Malaysia dengan 49 peratus daripadanya masuk melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Wilayah Songkhla. 

“Menjelang akhir tahun ini, jumlah pengunjung Malaysia dijangka melebih lima juta manakala dianggarkan tidak kurang daripada dua juta pelancong Thailand akan melawat Malaysia pada tempoh sama,” katanya.

Sementara itu, pada acara hari ini Yasmeen dan Pattaraanong bersama-sama melepaskan konvoi Pelancongan Memandu Sendiri Thailand-Malaysia yang melibatkan 50 kereta dan motosikal dari kedua-dua negara. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here