BEIJING, 7 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan jadual padat hari terakhir lawatan kerja ke China di sini, dengan mesyuarat perniagaan bersama China International Capital Corp (CICC).
Ditubuhkan di China pada 1995, CICC ialah syarikat pengurusan pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional milik negara itu.
CICC menyediakan perbankan pelaburan, sekuriti dan perkhidmatan pengurusan pelaburan kepada syarikat, institusi dan individu di seluruh dunia.
Selepas ini Perdana Menteri akan melawat Pusat Taklimat Eksekutif Huawei di Daerah Haidian dan seterusnya mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan eksekutif kanan Huawei.
Anwar kemudiannya akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Peking di Beijing.
Syarahan bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order, antara lain dijangka menyentuh mengenai kerjasama serantau ditengah-tengah perubahan dunia.
Petang ini, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
Perdana Menteri akan menerima penghormatan tinggi kerana Presiden Xi bersetuju menganjurkan majlis makan malam untuk Anwar di Great Hall of the People.
Anwar kini dalam lawatan kerja empat hari ke China bermula 4 Nov.