BEIJING, 7 Nov — Ketika Malaysia bersiap sedia untuk memegang Jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari sepenuhnya tanggungjawab besar yang menanti.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan,” Anwar membayangkan sebuah ASEAN dengan semua negara anggotanya, tanpa mengira saiz atau keupayaan ekonomi, berkongsi manfaat pertumbuhan dan pembangunan secara saksama.
Menurut Anwar, ASEAN kini telah berkembang menjadi rantau yang dihuni 671 juta penduduk dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia.
“Kekompleksan landskap global kini menuntut ASEAN untuk memainkan peranan dan tanggungjawab baharu,” kata Anwar.
Anwar berkongsi pandangannya ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order di Universiti Peking, pada Khamis.
Bagi merealisasikan matlamat ini, Anwar berkata Malaysia akan memperjuangkan prinsip Kepusatan ASEAN.
“Ini adalah konsep yang meletakkan ASEAN sebagai pusat keamanan, keselamatan dan kerjasama ekonomi serantau,” katanya.
Menurut Anwar, Kepusatan ASEAN adalah asas yang membolehkan rantau ini berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa-kuasa besar dunia sambil mengekalkan kebebasan serta mempromosi kestabilan serantau.
Yang paling penting, beliau berkata Kepusatan ASEAN hanya boleh dipertahankan jika Asia Tenggara bersatu padu.
Beliau menambah bahawa hubungan ASEAN-China juga mencerminkan komitmen bersama mereka terhadap inovasi dan teknologi baharu muncul.
Anwar berkata menyatakan bahawa China telah mencapai kemajuan besar dalam transformasi digital, kecerdasan buatan, dan tenaga hijau, yang dianggap ASEAN sebagai bidang kerjasama penting bagi menangani cabaran global dan mempromosi daya tahan jangka panjang.
Pada 2025, Anwar berkata Malaysia akan memulakan forum tiga hala melibatkan ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang akan memperkenalkan satu dimensi unik dalam hubungan ASEAN-China.
Platform ini, katanya, bertujuan memperluas kerjasama ASEAN dan mengiktiraf kepentingan rantau Teluk dalam perdagangan global dan geopolitik yang semakin meningkat .
Dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan ASEAN-China dan persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, Anwar berkata adalah penting bagi “kita mengambil inspirasi daripada prinsip yang membimbing kerjasama kita.”
Dalam hal ini, Anwar menyatakan beliau sangat terharu dengan komitmen teguh Presiden Xi Jinping terhadap keadilan dan kesaksamaan.
Beliau memetik ucapan Xi sempena ulang tahun ke-70 Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Damai, dengan mengatakan: “China menggalakkan visi tadbir urus global yang menekankan perundingan yang luas dan sumbangan bersama untuk manfaat bersama, dan China percaya dalam multilateralisme sebenar.”
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China yang bermula 4 November lepas.
Beliau diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri Li Qiang ini menekankan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
China merupakan menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Anwar ke China, selepas lawatan sulung beliau sebagai Perdana Menteri pada Mac 2023, dan lawatan susulan pada September.
Lawatan kerja yang bermula di Shanghai ini akan berakhir di Beijing hari ini.