KUALA LUMPUR, 8 Nov – Status kemajuan fizikal semasa bagi Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A mencapai 78 peratus dan dijadual siap pada suku pertama 2026.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata status kemajuan fizikal semasa bagi LPB Sabah Fasa 1B pula adalah sebanyak 2.4 peratus dengan keseluruhan fasa itu dijadualkan siap pada 2029.

“Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A dan baki 19 pakej kerja di bawah Fasa 1B,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengenai projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) pula, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata projek SSLR Fasa 1 yang melibatkan jajaran Lawas-persimpangan Long Lopeng mula dilaksanakan sejak Ogos 2021.

“Jajaran projek bermula di Kampung Gelugus, Lawas sehingga persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 km. Projek kini telah mencapai 40 peratus pelaksanaan di tapak setakat bulan Oktober 2024 dan dijangka siap pada November 2026,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here