PETALING JAYA,Dec 19: Sam Lim ialah pegawai polis baru yang bekerja syif malam di Fremantle, Australia barat, ketika beliau perlu berdepan isu perkauman yang kekal dengannya hingga hari ini.

“Seorang lelaki kulit putih masuk ke balai, jadi saya menyapanya seperti biasa. ‘Hi, how are you, what can I do for you’. Dia memandang saya dan menjawab ‘Saya mencari pegawai polis sebenar’.”

Lim berpaling dan berjalan dengan tenang ke pejabat utama, serta memberitahu pegawai lain yang lelaki itu mahu berjumpa “polis sebenar”.

“Salah seorang pegawai lain keluar dan beritahu lelaki itu, ‘Sam ialah satu-satunya pegawai polis sebenar. Kami tiada pegawai sebenar yang lain di sini’. Mereka sentiasa menyokong saya, kami memerangi diskriminasi bersama.”

Tiga belas tahun berlalu, tetapi semangatnya menghadapi diskriminasi tidak pernah goyah. Minggu lalu, Lim, 60, yang dilahirkan di Muar, menjadi individu bukan berkulit putih pertama yang dinobatkan Pegawai Tahunan Australia Barat, penghormatan yang diraih daripada komitmennya terhadap kesaksamaan dalam kepolisian dan komuniti pendatang asing.

Menjadi pegawai polis ialah “impian kanak-kanaknya”, katanya kepada FMT, impian yang berjaya dicapai di Malaysia sebelum beliau meninggalkan pasukan itu untuk menyara keluarganya dengan lebih baik.

“Saya menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1980-an. Sebagai seorang konstabel, saya mendapat RM275 sebulan dan selepas potongan, hanya berbaki kira-kira RM180. Saya mahu berkongsi rezeki saya dengan ibu bapa, tetapi ia terlalu sedikit.”

Lim kemudiannya melatih ikan lumba-lumba untuk seketika, sebelum menjadi jurujual, tetapi sejak berhijrah ke Australia pada 2005, beliau kembali melakukan apa yang disukainya.

Pada usia 45 tahun, beliau menyertai polis Australia Barat, lulus ujian fizikal dan psikologi serta ditempatkan di barisan depan.

Sebagai konstabel kanan di Unit Penglibatan & Kepelbagaian polis Australia Barat, beliau mengabdikan masanya untuk membantu golongan pendatang asing yang sering takut kepada polis dan tidak mempercayai sistem itu, mengaitkan mereka sebagai rakan warga asing dan membantu mengajar mereka mengenai undang-undang tempatan dan hak mereka, usaha yang tidak disedari pihak atasan.

“Saya akan memberi kad saya kepada orang dan meminta mereka menghantar mesej atau hubungi saya jika mempunyai sebarang pertanyaan. Saya pernah mendapat begitu banyak panggilan dan mesej, jadi akhirnya kami mewujudkan panduan Soalan Lazim (FAQ) di media sosial untuk kegunaan orang ramai.”

Walaupun menjadi komuniti minoriti membantunya berhubung dengan komuniti itu, beliau gembira ia tidak menjejaskan kehidupannya di balai polis.

“Kadangkala saya akan membawa nasi lemak saya ke pejabat dan dengan bau sambal serta ikan bilis, tiada orang yang bersuara. Semua saling bertoleransi antara satu sama lain.”

Walaupun Lim tidak merancang kembali ke Malaysia, bersama tiga anaknya yang semuanya berusia lebih 30 tahun dan berharap dapat membina kerjaya mereka sendiri di Australia, beliau mengakui walaupun boleh meninggalkan Muar, beliau tidak boleh terpisah daripada Muar.

“Saya masih budak kampung dalam hati,” katanya sambil ketawa menceritakan beliau tertunggu-tunggu empat minggu dalam setahun untuk pulang ke kampung halamannya, menemui saudara-mara dan rakan lama, serta menikmati roti canai dan teh tarik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here