KUCHING, 20 Dis  — Kesatuan Guru Sarawak (KGS) meminta kerajaan memberi keutamaan kepada guru untuk diberi vaksin COVID-19 selepas petugas barisan hadapan negara.

Presidennya Adam Parkash Abdullah berkata ia selaras dengan cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mahukan supaya guru-guru turut diberi keutamaan mendapat vaksin COVID-19 apabila ia sudah tersedia nanti.

“Apabila vaksin COVID-19 sudah ada, dan disahkan Kementerian Kesihatan, KGS merayu agar guru-guru diberikan keutamaan, mungkin selepas petugas barisan hadapan seperti yang dicadangkan UNICEF,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Delegasi Dwitahunan KGS Ke-25 di sini, hari ini.

Pada persidangan itu, KGS telah mendandatangi memorandum persefahaman dengan Swinburne University Of Technology (Swinburne) Sarawak bagi membolehkan ahli kesatuan itu melanjutkan pelajaran dalam Master Of Arts (Teaching English To Speakers Of Other Languages) di universiti berkenaan.

Adam mewakili KGS manakala Swinburne Sarawak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Wallace Wong Shung Hui.

Sementara itu, Adam meminta pihak berkuasa berkaitan memperluaskan lagi liputan internet berkelajuan tinggi ke semua sekolah di Sarawak dan memberi elaun data internet kepada guru bagi membantu mereka menjalankan kelas secara dalam talian.

Menurutnya masalah ketiadaan liputan internet serta ketidakmampuan keluarga pelajar untuk memiliki telefon pintar serta kos penggunaan internet masih begitu ketara di Sarawak.

“Adakalanya kepantasan internet tidak mencukupi bagi digunakan guru di sekolah dan mereka terpaksa menggunakan data (internet) sendiri yang menyebabkan mereka menanggung kos yang bertambah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here