KUALA LUMPUR,Dec 28: Keputusan beberapa kes berprofil tinggi yang menjadi bualan ramai sehingga menarik perhatian masyarakat antarabangsa mendominasi gelanggang mahkamah sepanjang 2020.

Paling menonjol keputusan mahkamah dalam kes berkaitan skandal 1MDB membabitkan Najib Razak pada 28 Julai lalu yang menyaksikan bekas perdana menteri keenam itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dalam penghakiman setebal 801 muka surat bertarikh 21 Ogos, Nazlan menyifatkan kes itu kesalahan pecah amanah jenayah terburuk kerana membabitkan perdana menteri ketika itu yang merupakan pegawai atasan tertinggi kerajaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib, 67, mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung sebab beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Mahkamah Rayuan menetapkan 12 hari mulai 15 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan Najib yang kini bebas, selepas diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Beberapa bulan sebelum itu, negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada 13 Mei yang melepas tanpa membebaskan anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, daripada pertuduhan pengubahan wang membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) dipercayai diseleweng daripada dana 1MDB.

Keputusan itu dibuat susulan persetujuan antara pendakwaan dengan tertuduh dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan menyebut kerajaan persekutuan akan mendapatkan semula aset di luar negara dianggarkan bernilai AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Pada 4 Sept pula, Mahkamah Tinggi membebaskan sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom, iaitu Goldman Sachs International Ltd serta dua entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura), daripada pertuduhan berkaitan penjualan bon 1MDB berjumlah RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion) selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

Turut menjadi tumpuan ramai ialah keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan Najib dan dua anak lelakinya membayar RM1.74 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memperoleh penghakiman terus bagi memaksa mereka melunaskan jumlah itu.

Najib diperintahkan membayar RM1.69 bilion sebagai tambahan tunggakan cukai, manakala Mohd Nazifuddin, 37, sebanyak RM37.6 juta dan Mohamad Nizar, 42, sebanyak RM13.16 juta.

Rayuan mereka akan didengar 16 Jun tahun depan.

Satu lagi keputusan yang menjadi bualan hangat ialah pembebasan Musa Aman pada 9 Jun lalu oleh Mahkamah Tinggi daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang membabitkan kontrak konsesi balak di Sabah, selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Sabah itu.

Teka-Teki mengenai kesudahan siasatan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang akhirnya terjawab, apabila bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan Butterworth atas dua pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan pecah amanah jenayah pada Ogos dan kes itu akan dibicarakan di sini Jun tahun depan.

Ahli Parlimen Bagan itu berdepan satu lagi pertuduhan rasuah berhubung pemberian projek kepada sebuah syarikat di Mahkamah Sesyen Butterworth dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon didakwa bersubahat dengan Lim, manakala isterinya, Betty Chew pula berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang.

Kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu sekali lagi menjadi tumpuan apabila bekas anggota polis Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri gagal dalam percubaan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan terhadap sabitannya pada 8 Dis lalu.

Azilah kini hanya mempunyai satu pilihan untuk melepaskan diri daripada tali gantung, iaitu mendapatkan pengampunan Sultan Selangor dan dia sudah memfailkan permohonan agar hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya digantikan hukuman penjara.

Turut mencuri tumpuan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Jahid @ Noordin Jahim bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri Sabah pada saat-saat akhir dalam rayuan berhubung isu siapa sebenarnya ketua menteri sah antara Shafie Apdal dan Musa.

Mahkamah membuat keputusan itu pada 11 Sept lalu, iaitu sehari sebelum penamaan calon.

Menghiasi muka depan akhbar ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos lalu yang menolak saman bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta tiga yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM atas alasan mereka tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Turut menjadi perhatian serta melegakan banyak pihak ialah keputusan Mahkamah Tinggi yang persidangan Parlimen sehari pada 18 Mei lalu adalah sah dan mengikut undang-undang, meskipun agak luar biasa serta tidak pernah berlaku sebelum ini, dalam usaha mengelak penularan pandemik COVID-19.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas menolak saman pemula peguam R Kengadharan serta aktivis sosial D Arumugam terhadap Muhyiddin dan bekas speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof untuk mendapatkan deklarasi persidangan itu tidak mengikut Perlembagaan.

Mengakhiri kalendar 2020 ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Dis lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta ke atas bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, 70, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Dalam penghakimannya, Zaini memutuskan RM2 juta yang diberikan Chai Kin Kong kepada Tengku Adnan kekal dalam akaun syarikatnya, Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan beliau menggunakan syarikat itu bagi menerima wang tersebut hasil perlakuan jenayah yang kemudian masuk ke poketnya sendiri.

Tengku Adnan, yang berdepan satu lagi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Eng Boon, sudah dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 7 Dis lalu, selepas pendakwaan memaklumkan mereka tidak berhasrat meneruskan kes itu kerana terdapat perkembangan baru.

Tan, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu bersubahat dengan ahli politik itu, didenda RM1.5 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here