PUTRAJAYA,Jan 6: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa berpendirian dia tidak akan bersubahat dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, selepas mendapati terdapat gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Katanya, selepas tidak lagi menyandang jawatan itu beliau lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik.

“Disebabkan perbezaan prinsip ini, lebih baik saya tidak bersubahat dengan hala tuju Zahid.

“Sekarang saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya bersama rakan-rakan yang sealiran,” katanya pada sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Annuar turut mengakui kepercayaan antaranya dan Zahid kini berubah susulan beberapa isu seperti surat sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan kerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baru.

“Saya juga sedar tugas sebagai setiausaha agung BN hanya boleh dilaksanakan dengan baik jika adanya perasaan saling meyakini dan mempercayai dengan pengerusi.

“Walaupun perasaan sedemikian pernah wujud, ianya telah berubah kebelakangan ini berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan pendirian politik saya secara tegas dan telus,” katanya.

Kata Annuar, antara isu yang menuntutnya untuk mempertahankan prinsip serta pendirian adalah situasi “flip-flop” kepimpinan, khususnya Zahid, dalam perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dalam hala tuju dan mengelirukan ahli.

“Saya sudah menyiapkan draf perlembagaan MN, apabila sampai masanya untuk daftar, (diberitahu) jangan daftar pula,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pimpinan gagal mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti.

“Pertelagahan secara terbuka menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi parti,” katanya.

Annuar juga berkata, dia tidak selesa dengan seruan berterusan supaya Parlimen dibubarkan ketika rakyat sedang menderita akibat pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi.

“Apa yang berlaku mewujudkan keresahan dalam kalangan ahli dan menjejaskan reputasi parti. Parti dilihat diseret untuk memenuhi agenda peribadi,” kata Annuar.

Sambil mengulangi pendiriannya untuk tidak meninggalkan parti, beliau turut menyeru ahli Umno untuk bersatu hati menjunjung tinggi dasar dan falsafah parti.

“Kepada parti sahabat BN, PN, GPS dan GRS, berusahalah agar tiada perpecahan antara kita. Saya juga harap PAS kekal berjiwa besar dan tidak berputus asa berikhtiar untuk memperkukuhkan MN.

“Kepada kepimpinan PPBM, fahamilah sensitiviti akar umbi Umno dan ambil langkah ke arah memperbaiki perpaduan Melayu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here