PETALING JAYA, 12 Jan: Ketua kumpulan perubatan percaya penutupan separa yang baru diumumkan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan tidak akan membuahkan sebarang hasil, terutama dengan jangkitan Covid-19 kini mencecah empat angka setiap hari.

Azrul Mohd Khalib, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata virus Covid-19 sudah berada dalam masyarakat, dan akan terus menjangkiti keluarga serta isi rumah selama beberapa minggu akan datang.

Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, pengerusi Malaysian Medics International (MMI), berkata sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan melebihi dua minggu, sehingga masyarakat dengan cukup diberi vaksin dan mengembangkan antibodi untuk memastikan imuniti kelompok.

Azrul berkata tahap kepatuhan yang tinggi terhadap peraturan pencegahan Covid-19 dan tempoh penutupan yang lebih lama diperlukan untuk menurunkan kes.

Katanya, aspek yang paling penting dalam memerangi pandemik itu adalah dengan mematuhi SOP.

Beliau juga menyeru agar langkah-langkah untuk memberikan bantuan kewangan bagi keluarga yang akan terjejas dengan kehilangan pendapatan. “PKP kedua ini akan menyebabkan lebih banyak orang jatuh dalam kemiskinan,” katanya.

Beliau berpendapat strategi PKP terkini, yang hanya akan mempengaruhi negeri dan wilayah persekutuan tertentu, sepatutnya dilaksanakan pada Mac tahun lalu dan bukannya penutupan seluruh negara.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya akan dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai tengah malam ini.

Vikkineshwaran berkata denda yang lebih berat mesti dikenakan ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan. “Kita tidak boleh lagi bersikap longgar”.

Beliau berkata kes Covid-19 yang tinggi itu adalah “harga yang perlu kita bayar” atas kesilapan kerajaan dalam membenarkan semula perjalanan domestik untuk mempromosikan pelancongan. “Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Vikkineshwaran mempersoalkan keputusan kerajan untuk membenarkan sektor pembinaan kekal beroperasi sebagai perkhidmatan penting, memandangkan jumlah kluster banyak dilaporkan dari tapak pembinaan baru-baru ini.

Dr Subramaniam Muniandy, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), berkata selamat untuk tapak pembinaan dan kilang terus beroperasi selagi majikan mengambil inisiatif untuk membuat saringan ke atas pekerja mereka secara berkala.

“Industri-industri ini mesti mengambil langkah berjaga-jaga. Majikan memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan keselamatan semua orang, kita mesti lebih berhati-hati,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here