PETALING JAYA,Jan 19: Para pakar kesihatan awam berkata, lebih ketelusan data akan membantu memerangi Covid-19 dengan meningkatkan kecekapan pengesanan kontak dan membolehkan para penyelidik memahami ciri-ciri virus dengan lebih baik.

Dalam surat terbukanya semalam, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming meminta kerajaan mendedahkan statistik infektiviti yang lebih spesifik dan maklumat terperinci mengenai sejarah lokasi kes positif.

Kurang seminggu yang lalu, Dr Narimah Awin, bekas pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan berkata dalam webinar, rakyat berhak mendapat lebih lagi maklumat daripada jumlah kes harian dan kluster yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad juga berkata, data yang lebih banyak memberi “kemungkinan jauh lebih besar” bagi para penyelidik dan komuniti perubatan, kerana ia akan membolehkan mereka untuk lebih mensinergi maklumat dan mendapatkan hasil yang bermakna.

“Data spesifik lokasi, misalnya, akan membolehkan para penyelidik mengukur Kadar Sebaran K – metrik yang digunakan untuk lebih memahami transmisi di kawasan yang terkandung,” kata beliau.

Penyelidikan oleh pelbagai negara menunjukkan sekitar 80% jangkitan adalah disebabkan oleh kurang daripada 20% pesakit. Ini menunjukkan ramai pesakit tidak menyebarkan virus, tetapi cenderung menjangkiti ramai orang sekaligus.

Mengukur kadar K secara setempat akan memudahkan pengesanan kontak kerana usaha boleh disalurkan kepada kontak rapat dalam situasi yang paling cenderung untuk jangkitan, berdasarkan data, dan untuk tujuan menghindari kewujudan kluster.

Dengan pengesan kontak sudah pun bergelut kerana sistem kesihatan terbeban, Dzulkefly berkata, dengan keterbukaan dan spesifik mengenai lokasi kes-kes positif, kerajaan juga akan “memperkasakan masyarakat untuk menjadi lebih cakna”.

“Ini sangat penting apabila para pengesan kontak kita diatasi jumlah kes harian dan tidak mampu menghubungi kontak rapat pada waktunya,” kata beliau.

Di Victoria, Australia, yang menghadapi salah satu sekatan paling ketat dan lama di dunia sebelum dibuka semula pada Oktober, kerajaan negerinya secara tetap mengeluarkan maklumat terperinci mengenai waktu dan jangka masa kes positif berada di sesuatu lokasi dalam tempoh 24 jam, memberi masyarakat lebih maklumat tentang sama ada mereka perlu sukarela mengambil ujian.

Ahli epidemiologi Dr Chan Chee Khoon berkata, bukan data komprehensif sahaja yang penting, malah metodologi di sebaliknya, kerana angka boleh dipengaruhi faktor luaran.

“Kita tidak boleh hanya mengambil nilai zahir sesuatu angka, kita juga perlu tahu bagaimana maklumat itu diperolehi dan sesuatu angka itu dihasilkan,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, nilai kadar kebolehjangkitan (R0, disebut R naught) mungkin tidak berguna dalam konteks Malaysia, kerana sebilangan besar pekerja asing, yang kebanyakannya tidak bersedia tampil untuk diuji kerana takut kesan perundangan, bermaksud data mentah yang digunakan untuk mendapatkan nilai R0 itu tidak sempurna.

“Dalam bidang saya, kami banyak bekerja dengan angka dan saya cukup tahu bagaimana angka-angka itu dihasilkan sehingga menjadi skeptikal dengan sebarang angka yang dilaporkan.

“Angka adalah penting, tetapi jangan terlalu taksub dengannya, kerana ia bergantung kepada pelbagai perkara, seperti konteks dan bagaimana maklumat disusun, yang boleh menentukan sejauh mana ia boleh dipercayai dan samada ia perlu disertakan kaveat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here