JOHOR BAHRU, 30 Jan — Polis Johor akan menghantar pasukan petugas khas ke semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, mulai bulan depan bagi membuat pemeriksaan mengejut terhadap kertas siasatan kerana terdapat kelemahan dalam aspek penyeliaannya.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan tahap penyeliaan kertas siasatan di peringkat daerah berikutan terdapat kelemahan penyeliaan ketua polis daerah dan ketua-ketua bahagian, sama ada melibatkan kes jenayah, narkotik atau jenayah komersial.

Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya masih terdapat kelemahan membabitkan penyeliaaan kertas siasatan dengan tindakan tatatertib akan dikenakan sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian serta ketua polis daerah.

Menurutnya, antara kelemahan yang dikesan dalam penyeliaan kertas siasatan ialah pegawai penyiasat tidak mengedarkan kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya  (TPR) walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patologi menyebabkan tiada waran tangkap dipohon sehingga Orang Kena Tuduh (OKT) gagal dikesan.

Beliau berkata terdapat kertas siasatan yang sudah mendapat arahan tuduh di mahkamah daripada TPR hampir tujuh bulan tetapi tiada tindakan oleh pegawai penyiasat.

Kelemahan lain, katanya, terdapat pegawai penyiasat didapati tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu yang tiada pengedaran dalam tempoh tiga bulan selain terdapat pegawai penyiasat kanan atau ketua bahagian tidak teliti dan terlalu ringkas dalam memberi arahan kepada pegawai penyiasat.

“Terdapat juga pegawai penyiasat yang tidak mengemaskini borang RJ 9 (tangkapan) dan borang RJ 99 (kes sabitan mahkamah). Kegagalan ini mempunyai implikasi besar dalam konteks rekod jenayah suspek atau banduan.

“Ini adalah punca utama mengapa ada pesalah-pesalah yang telah dijatuhi hukuman tetapi melepasi tapisan keselamatan malah ada dalam kalangan mereka ini bekerja di sektor awam dan swasta termasuk dalam Polis Diraja Malaysian (PDRM) sendiri,” katanya menerusi teks Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor, yang diedar kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sebagai pihak berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing, maka, ketua polis daerah, ketua bahagian mahupun pegawai penyiasat kanan seharusnya tidak mempunyai alasan membabitkan kelemahan dalam penyeliaan kertas siasatan di peringkat masing-masing.

“Apa yang jelas di sini adalah kurangnya penyeliaan di peringkat daerah dan ini adalah fakta. Kita perlu memastikan penyeliaan dan kertas siasatan yang disiapkan berkualiti. Ia bagi memastikan kes-kes yang disiasat dituduh di mahkamah dan mendapat sabitan, ini yang saya mahukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here