SEREMBAN, 21 Okt — Menjelang sambutan Deepavali Ahad ini, perniagaan Little India, yang terletak di Jalan Yam Tuan di sini masih lagi lengang, berbanding tahun lepas, orang ramai lebih cenderung untuk membuat persiapan lebih awal.

Tinjauan Bernama di Little India, yang merupakan lokasi tumpuan setiap kali menjelang Deepavali hari ini, masih lengang apabila hanya terdapat beberapa pelanggan sahaja membeli barangan seperti pakaian dan perhiasan diri.

Pemilik kedai tekstil, S.Anbarasan, 53, berkata suasana di kedainya ketika ini masih lagi lengang berbanding seminggu sebelum raya pada tahun lepas, orang ramai sudah mula berpusu-pusu untuk membeli barangan persiapan Deepavali seperti baju punjabi dan sari namun kali ini jualan agak perlahan.

“Saya berpendapat mungkin kebanyakan pelanggan ada yang masih belum mendapat gaji serta komitmen kerja menyebabkan mereka ini datang pada saat-saat terakhir. Saya berharap beberapa hari lagi akan lebih ramai pelanggan datang untuk membeli barangan perayaan mereka,” katanya.

G.Ramachandran, 65, yang mengusahakan perniagaan menjual makanan tradisional seperti maruku sejak 2009 berkata selain trend membeli barangan pada saat-saat akhir, cuaca hujan juga mempengaruhi mereka dalam membuat persiapan.

“Akhir-akhir ini kerap berlaku hujan yang lebat pada waktu petang sekali gus menyebabkan mereka ini tidak dapat keluar membeli barangan. Kalau tahun lepas, waktu-waktu begini keuntungan jualan boleh cecah RM1,500 sehari namun sekarang nak dapat RM1,000 pun susah.

“Saya rasa sekarang ini banyak persaingan dari kedai lain serta orang ramai mula berjimat di samping mempunyai banyak pilihan dalam membeli sesuatu barangan,” katanya.

Pekerja swasta, R.Nalini, 23, berkata beliau masih belum melakukan sebarang persiapan kerana kekangan masa dengan tuntutan kerja.

“Saya tidak sempat hendak membeli barang untuk persiapan Deepavali kerana komitmen kerja namun saya akan membeli sehari sebelum perayaan Deepavali nanti,” katanya.

Pekerja kedai aksesori, C.Bavani, 19, berkata dia menyambut perayaan Deepavali secara sederhana pada tahun ini berbanding tahun lepas.

“Tahun ini saya berjauhan dengan keluarga kerana saya bekerja di Seremban tetapi kampung halaman saya di Johor Bahru. Jadi kurang meriah dan saya juga perlu berbelanja mengikut keperluan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here