KUALA LUMPUR,24 Feb: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu kira-kira 3 petang nanti.

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal 26 Feb (Jumaat) ini bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin dalam fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April ini.

Selain Muhyiddin, turut dijadualkan menerima vaksin itu petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja Kementerian Kesihatan.

Mereka bakal menerima vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya, salah satu daripada lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia dengan sebahagiannya diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura, hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3% adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7% anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos nanti, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80% penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin Covid-19 melalui fasiliti COVAX daripada lima pengeluar – Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Jan 2020, seramai 288,229 orang dilaporkan dijangkiti virus itu setakat semalam dengan 1,076 kematian direkodkan bagi tempoh sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here