JOHOR BAHRU, 27 Feb — Kerajaan Negeri Johor menyasarkan lebih 80 peratus rakyat negeri itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha membendung penularan pandemik berbahaya itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata pemberian vaksin itu akan dilaksana dalam tiga fasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 1 Mac ini.

“Fasa satu melibatkan petugas barisan hadapan dijangka selesai sehingga April sebelum diteruskan dengan fasa kedua membabitkan golongan warga emas dan penghidap penyakit kronik manakala fasa ketiga melibatkan masyarakat umum,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekalan vaksin bagi fasa pertama program itu tiba di Johor pada 21 Feb lepas dan disimpan di empat Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Permai (Johor Bahru), Hospital Sultanah Nora Ismail (Batu Pahat), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (Kulai) dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (Muar).

Beliau berkata bekalan vaksin itu kemudian akan diedarkan ke 62 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri.

Katanya pendaftaran sebagai penerima vaksin di Johor boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau mendaftar di fasiliti kerajaan dan swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here