PETALING JAYA,2 Mac: Seorang pemimpin PKR menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah untuk menjelaskan mengapa dia bersetuju dengan kaedah syarikat tunggal untuk melancarkan teknologi mudah alih 5G, bukannya pelan konsortium yang digunakan sebelum ini oleh Pakatan Harapan.

Kementerian Kewangan mengumumkan semalam bahawa syarikat bertujuan khas (SPV) Digital Nasional Berhad akan memiliki spektrum 5G tersebut serta memiliki, membina dan mengendalikan rangkaian 5G.

Ia juga akan menjual akses spektrum dan rangkaian tersebut kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.

Bendahari PKR Lee Chean Chung menyifatkannya sebagai pendekatan yang regresif.

“Ini bukan kaedah yang menjimatkan mahupun cekap untuk melancarkan infrastruktur 5G kita,” kata beliau.

Kata beliau, kerajaan Pakatan Harapan terdahulu telah mencadangkan sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk ditubuhkan bagi tujuan membangunkan infrastruktur tersebut. Hak spektrum kemudian akan diperuntukkan secara tender terbuka supaya ketelusannya terjamin.

Lee ingin tahu mengapa Saifuddin, bekas sekutunya dalam PKR, kini menyokong model SPV berbanding model pilihan pentadbiran PH yang menurut beliau selaras dengan trend global.

“Di Singapura dan Amerika Syarikat, kerajaan akan menerima berbilion-bilion daripada peruntukan spektrum 5G melalui tender terbuka. Mereka juga mendorong pemain industri untuk mengoptimumkan sumber dan mengurangkan pembaziran melalui pembentukan konsortium.

“Namun, di Malaysia, kita awal-awal membelanjakan RM15 bilion, ditambah dengan risiko kerajaan memonopoli pasaran 5G, yang bertentangan dengan kepentingan negara,” kata beliau.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga berkata, model kerajaan tersebut “sangat berbeza” berbanding negara-negara lain yang memberikan lesen 5G melalui tender terbuka.

“Dengan kata lain, kerajaan di negara-negara lain dibayar berbilion-bilion oleh syarikat telekomunikasi tetapi di Malaysia, kerajaan pula akan menanggung kos RM15 bilion untuk membina infrastruktur 5G,” katanya di Facebook.

Najib berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi sudah mempunyai infrastruktur 3G dan 4G sedia ada dan kos serta masa yang mereka perlukan untuk menaik taraf ke 5G akan jauh lebih rendah berbanding kos yang ditanggung oleh syarikat milik kerajaan.

Kata beliau, pelan 5G terdahulu akan mengambil masa lima tahun dengan kos RM7.5 billion, sementara pelan semasa memerlukan RM15 bilion selama 10 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here