PUTRAJAYA, 5 Mac — Kementerian Pendidikan (KPM) akan menumpukan kepada pendekatan yang mengoptimumkan potensi pelajar, bermula daripada sekolah rendah, bagi melahirkan generasi yang yakin dengan kekuatan tersendiri.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata tumpuan KPM kini untuk mencungkil potensi pelajar berdasarkan kepada kekuatan dan kelebihan mereka untuk mengembangkan bakat masing-masing.

“Itu (mencungkil potensi pelajar) merupakan satu ruang yang terbaik untuk kita (mengembangkan bakat pelajar) khususnya di peringkat sekolah rendah. Kita tengok di mana kekuatan mereka dan apa kelebihan mereka supaya kita dapat majukan mereka dan mereka juga dapat mengoptimumkan kekuatan yang ada pada diri masing-masing,” katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin KPM di sini.

Sementara itu, Radzi menegaskan pelabelan pelajar ‘kelas belakang’ di sekolah tidak sepatutnya berlaku khususnya di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk melabelkan murid sekolah rendah dalam kategori tertentu sedangkan mereka baru mengembangkan potensi masing-masing pada usia itu.

“Secara peribadi saya yakin setiap manusia ini dicipta dengan kelebihan masing-masing dan setiap anak-anak itu ada kelebihan mereka, cuma kita tahu atau tidak sahaja… mungkin dalam bidang pendidikan dia tidak boleh (kurang menyerlah).

“Kita tidak tahu potensi dia dekat mana. Sebab itu saya sentiasa berpesan supaya tidak ada pelabelan kelas hadapan atau kelas belakang sebab perkara ini akan memberi kesan psikologi kepada anak-anak kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menteri itu berkata Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin mendapat sambutan daripada pelajar yang ingin mendapat ruang dan peluang dalam program yang ditawarkan dalam bidang itu.

Beliau berkata hasrat kementerian adalah untuk memastikan pelajar TVET mendapat pendidikan yang selaras dengan perkembangan industri semasa.

“Kita tidak mahu kita mengajar TVET mengguna teknologi lama… apabila pelajar itu habis belajar, industri menggunakan teknologi yang jauh berbeza. Salah satu penekanan kita adalah untuk meningkatkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan juga industri bagi memastikan apa sahaja yang kita ajar memberi ruang dan peluang untuk mereka bekerja dalam industri di mana teknologi yang digunakan adalah teknologi yang mereka belajar sewaktu di sekolah,” katanya.

Dalam wawancara itu, Radzi turut mengulas cabaran KPM pada 2020 apabila negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga memerlukan kementerian itu membuat beberapa keputusan di luar jangkaan dan kebiasaan.

Beliau mengakui cabaran paling besar di peringkat awal adalah bagaimana untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan dalam suasana pandemik yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau berkata keputusan yang diambil oleh kerajaan termasuk melaksanakan PKP bermula 18 Mac 2020 adalah berdasarkan kepada strategi dan kaedah tersendiri memandangkan ketika itu satu dunia tidak mempunyai pengalaman menguruskan pandemik COVID-19.

“Apabila berlaku pandemik COVID-19 tidak ada siapa antara kami pernah melalui pengalaman sebegini, tidak ada siapa pun yang pernah menangani krisis yang melibatkan sektor pendidikan sebesar itu,” katanya.

Begitu juga di peringkat kementerian, Radzi berkata pihaknya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah susulan pelaksanaan PKP, walaupun menyedari terdapat kekangan dari segi peranti dan akses internet.

“Alhamdulillah kita berjaya untuk meneruskan PdPR, walaupun ia berbeza dengan secara bersemuka di sekolah tetapi sekurang-kurangnya pada waktu itu kita berikhtiar yang terbaik berdasarkan kekangan yang ada untuk mencari ruang supaya anak-anak ini terus ada ‘attachment’ dengan sekolah. Kita tidak mahu anak-anak ini terus hilang sentuhan dengan pihak sekolah. Itu satu cabaran yang paling besar di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut memberi ruang kepada para guru untuk memilih apa sahaja pendekatan yang bersesuaian memandangkan murid-murid datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Selain itu, beliau berkata kementerian turut mewujudkan satu saluran khusus TV pendidikan secara terestrial, DidikTV KPM bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai.

Menyentuh mengenai pembukaan sekolah, Radzi berkata keputusan untuk membuka semula sekolah ketika negara masih berdepan dengan pandemik dibuat bukan sekadar hanya menekan punat ‘buka’ ataupun ‘tutup’, sebaliknya ia melalui satu proses perbincangan yang panjang dengan mengambil kira semua pandangan.

Walaupun menerima reaksi dan sentimen yang pelbagai terutamanya daripada ibu bapa dan guru, beliau berkata semua pihak tidak perlu bimbang kerana selagi prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, risiko penularan COVID-19 di sekolah dapat dikurangkan.

“Keputusan yang diambil di peringkat kementerian ini bukan keputusan menteri.  Banyak faktor yang kita ambil kira dan pada masa yang sama keselamatan adalah salah satu komponen yang paling penting. Dalam konteks pembukaan sekolah ini, kita terbuka…tapi apa yang kita perlu buat, apakah yang terbaik?

“Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak. Saya berada di sini untuk membuat keputusan yang kita yakin terbaik berasaskan kepada maklumat, data dan analisa yang kita buat,” katanya.

Berkongsi perancangan jangka panjang, Radzi berkata kementerian akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam konteks persaingan di peringkat dunia.

Menurutnya, banyak negara kini dilihat telah memulakan perancangan pendigitalan pendidikan mereka lebih awal berikutan keadaan semasa yang memerlukan sistem pendidikan bergerak pantas.

“Kita tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang. Bagaimana kita nak memaksimumkan teknologi yang ada untuk memastikan PdP ini dapat dilaksanakan dengan baik. Satu daripada bidang yang akan kita tekankan adalah berkaitan dengan pendidikan digital,” katanya.

Beliau berkata kementerian turut menyediakan latihan dan kursus untuk para guru supaya golongan itu juga bersedia menghadapi perubahan sistem pendidikan pada masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here