PUTRAJAYA,8 Mac: Malaysia mahu membeli 32 juta dos vaksin daripada syarikat farmaseutikal Pfizer-Biontech, yang akan meningkatkan liputan vaksin itu kepada 50% penduduk berbanding 20% sebelum ini.

Ia bagi memenuhi keperluan 16 juta penduduk, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin pada sidang media.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, akan mewakili kerajaan untuk menandatangani perjanjian perolehan dos tambahan selepas rundingan dengan wakil Pfizer selesai dalam masa terdekat.

“Pada asalnya kita hanya mahu membeli bekalan vaksin dari Pfizer hanya untuk keperluan 20% populasi penduduk Malaysia, kemudian ditingkatkan kepada 39% dan sekarang kita akan muktamadkan penjanjian dengan Pfizer untuk meliputi 50%.”

Semua perolehan 32 juta dos vaksin COVID-19 dijangka selesai dihantar ke Malaysia untuk meliputi 50 peratus populasi penduduk di negara ini, selewat-lewatnya awal tahun depan.

Khairy memaklumkan Pfizer menawarkan liputan untuk 20% lagi pada masa depan, dan kerajaan sedang mempertimbangkannya.

Pada masa sama, kerajaan akan meneruskan rundingan bagi mendapatkan bekalan vaksin jenis satu dos daripada Cansino, memandangkan Johnson & Johnson hanya akan dapat membekalkan vaksin jenis satu dos keluarannya pada suku ke-4 tahun ini.

Khairy berkata kerajaan mahu percepatkan rundingan dengan Cansino supaya Malaysia mempunyai vaksin jenis satu dos.

“JKJAV sedang mempertimbangkan satu lagi calon vaksin daripada Novavax dari Amerika Syarikat yang mempunyai tahap keberkesanan 89.3 dalam ujian klinikal di United Kingdom,” katanya.

Terdahulu, Khairy mengesahkan sehingga kini sebanyak 86,775 vial atau 520,650 dos vaksin Pfizer dihantar ke Malaysia untuk digunakan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penghantaran dos vaksin seterusnya iaitu 11 Mac bagi Pfiver, dan Sinovac iaitu 100,000 dos pada 15 Mac, dan 100,000 dos lagi pada 19 Mac.

“Semua 200,000 dos vaksin Sinovac ini akan diguna pakai untuk untuk fasa pertama PICK,” katanya.

Khairy yakin kerajaan akan dapat memenuhi KPI untuk memberikan suntikan dos pertama kepada semua 571,802 petugas barisan depan yang tersenarai dalam fasa pertama PICK, menjelang akhir bulan ini.

“Sehingga hari ini 3.8 juta penduduk mendaftar untuk menerima suntikan vaksin bawah PICK dan daripada jumlah berkenaan lebih 3.6 juta mendaftar menerusi aplikasi Mysejahtera, dan 175,000 mendaftar menerusi laman web https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/, manakala 863 lagi mendaftar menerusi talian bebas tol diwujudkan sejak 5 Mac,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here