SEPANG, 9 Mac — Kerajaan Selangor sedang menilai sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian dalam tempoh darurat sekarang, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata sebarang keperluan untuk mengadakan sidang DUN juga perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandangkan urusan berkaitan sidang DUN atau Dewan Rakyat terkandung dalam Ordinan Darurat yang ditandatangani Seri Paduka.

“Kerajaan negeri Selangor akan adakan perbincangan sama ada perlu adakan sidang DUN atau tidak,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melawat Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi di sini yang dilanda ribut Sabtu lepas.

Amirudin berkata kerajaan negeri atau melalui DUN Selangor akan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jika ada keperluan untuk sebarang pindaan Rang Undang-undang (RUU) atau pembentangan kelulusan RUU termasuk undang-undang perbekalan.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor seperti Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru), Chua Wei Kiat (Rawang) dan Najwan Halimi (Kota Anggerik) berharap sidang DUN dapat dilangsungkan segera selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Mengenai bantuan kerajaan negeri terhadap mangsa kejadian ribut di Sepang itu, Amirudin berkata bantuan wang ihsan RM500 secara sekali beri akan disalurkan selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau juga sedang menunggu laporan berhubung kos dan jenis kerosakan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk melihat tindakan dan jenis bantuan selanjutnya.

Kejadian ribut pada kira-kira 5 petang Sabtu merosakkan lebih 100 rumah di kawasan tersebut.

Nor Khairun Mohd, 39, yang berkongsi detik cemas ketika kejadian berkata beliau menerima 20 jahitan akibat terkena serpihan kaca pintu gelangsar rumahnya.

“Sebelum tercedera, saya cuba tutup pintu gelangsar sebab angin kencang. Saya tengok ia bergoncang macam nak pecah. Jadi saya fikir kena bawa anak-anak ke bilik, tapi tak sempat sebab pintu sliding itu pecah,” kata ibu kepada empat anak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here