PETALING JAYA, 18 Mac: Persatuan yang mewakili hospital swasta di Malaysia menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan program vaksinasi swasta bagi mempercepat proses inokulasi petugas barisan hadapan ekonomi.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh meminta kerajaan mengkaji semula fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mengukuhkan lagi fasa kedua, yang akan bermula bulan depan.

“Ketika kita ada 10 hari lagi sebelum memasuki fasa kedua, kami berharap lebih banyak institusi kesihatan swasta akan terlibat, termasuk pengamal perubatan swasta,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau bimbang tentang bilangan terhad hospital swasta yang terpilih untuk fasa pertama program itu, di mana negeri-negeri tertentu, seperti Melaka, hanya dijadualkan memvaksinasi petugas hospital swasta menjelang hujung bulan ini atau dalam fasa kedua.

“Sebilangan hospital swasta di negeri ini (Melaka) adalah penyumbang ekonomi besar kepada negara dan negeri dari segi pelancongan perubatan.

“Kami berharap program vaksinasi dapat diperhebatkan di beberapa negeri ini, termasuk (negeri-negeri) pantai timur Semenanjung Malaysia,” kata beliau, sambil mengingatkan bahawa bandar-bandar kecil di Sarawak juga ketinggalan dalam fasa pertama.

Tambah beliau, APHM sedang berunding dengan kerajaan tentang prospek pembiayaan kos perkhidmatan vaksinasi di institusi kesihatan swasta bagi mengurangkan beban orang ramai.

Dengan kerjasama swasta-kerajaan yang semakin kukuh, Kuljit berharap program imunisasi akan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Dua hospital swasta di Kuala Lumpur menjadi fasiliti kesihatan swasta pertama yang menjalankan vaksinasi bermula 1 Mac, diikuti oleh beberapa hospital lain di pelbagai negeri, terutamanya di Selangor.

Kuljit sebelum ini dilaporkan berkata, vaksinasi di hospital swasta berjalan dengan baik tanpa pembaziran atau insiden dilaporkan, sambil menambah, ini membuktikan bahawa hospital swasta mampu menjalankan program vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here