PETALING JAYA,23 Mac: Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan permohonan Umno bagi mengadakan perhimpunan agungnya (PAU) pada 27 dan 28 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, beliau sendiri berbincang dengan pengarah MKN minggu lalu dan pihaknya juga sudah memperoleh surat kelulusan bertarikh 19 Mac.

“SOP 50% kapasiti premis, pelitup muka, penjarakan (fizikal) dan lain-lain tentu akan dipatuhi,” kata beliau di Twitter.

Terdahulu, Umno mengumumkan akan mengadakan PAU tahun ini secara bersemuka dan siaran maya setelah ia ditangguhkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

PAU kali ini dilihat sebagai kemuncak kepada perbincangan tentang hala tuju parti itu, terutama berkenaan hubungannya dengan PPBM.

Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju membawa usul memutuskan hubungan dengan PPBM menjelang pilihan raya umum ke-15.

Ini susulan desakan 191 bahagian Umno di seluruh negara agar parti itu tidak lagi bekerjasama dengan PPBM, akibat pertikaian berkenaan kerusi-kerusi yang ingin ditandingi kedua-kedua parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here