1 April — UMNO harus mempertahankan kerajaan di Putrajaya dan di negeri yang ia bentuk sendiri, gesa Annuar Musa, selepas perhimpunan agung parti membuat keputusan mengenai jalan politiknya tidak menyokong Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Annuar, sekarang bukan masanya untuk menggagalkan pentadbiran, yang Umno adalah sebahagian daripada anggotanya.

“Ini bukan masanya menggagalkan pentadbiran yang kita sendiri bentuk dan kita sendiri  anggotainya, bukan masa untuk keluar dan runtuhkan kerajaan Sabah, Johor, Melaka, Perak dan lain-lain yang kita kongsi bersama PAS dan Bersatu,” katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Jelas Annuar, ini bukan masa untuk Umno lari daripada tanggungjawab membantu kerajaan yang ia dirikan sendiri.

Katanya, tumpuan Umno sekarang sepatutnya pada kestabilan negara untuk melancarkan pemulihan ekonomi kesan penularan pandemik Covid-19.

“Mari kita laksanakan agenda membela rakyat yang terkesan dengan situasi semasa. Mari kita buktikan kita mampu berjaya membela rakyat dan memimpin negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau menasihati sembilan menteri Umno untuk terus kekal dalam pentadbirannya biarpun ada keputusan parti untuk mereka menarik diri dan letak jawatan, sekiranya diarah.

Umno mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin, sementara beberapa pemimpinnya juga menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Umno membentuk kerajaan baharu bersama PAS dan Bersatu serta mendapat sokongan parti di Sabah dan Sarawak selepas percaturan politik pada hujung Februari tahun lalu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pilihan rakyat dalam PRU14.

Episod bermula apabila Bersatu menarik diri daripada gabungan PH diikuti beberapa ahli Parlimen PKR juga keluar parti, sementara Dr Mahathir Mohamad pula letak jawatan perdana menteri.

Dalam tulisannya, Annuar yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung Barisan Nasional pada Januari lepas turut menyeru Umno agar menghentikan politik dalaman.

Katanya, biarpun ada perbezaan pendapat mengenai hala tuju politik Umno namun parti sudah membuat keputusan dan semua pihak perlu akur dengan keputusan itu.

“Bergerak ke hadapan, elok kita fikir soal rakyat. Saki baki masa yang ada elok kita tumpu pada agenda rakyat. Malah rakyatlah yang menjadi juri politik kita nanti,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2020 pada hujung minggu lalu mengesahkan keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 serta tidak juga akan bekerjasama dengan DAP mahupun PKR.

Umno juga memutuskan akan bertanding PRU15 dengan menggunakan lambang Barisan Nasional.

Perhimpunan itu juga menyerahkan kepada budi bicara Majlis Kerja Tertinggi bagi menentukan masa yang sesuai untuk Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin sekiranya tiada tanda-tanda pilihan raya segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here