KUALA LUMPUR, 1 April — Ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini disambut di seluruh negara, dan di Angkaspuri ia disambut serentak dengan Ulang Tahun Orkestra RTM ke-60.

Sambutan yang berlangsung di Angkasapuri dan negeri-negeri itu tetap meriah walaupun diadakan dalam norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian yang disampaikan secara maya berkata RTM perlu bersedia berubah mengikut perkembangan dan kemajuan teknologi serta mencipta lebih banyak kejayaan baharu untuk membawa jabatan penyiaran negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada sidang media sambutan ulang tahun itu berkata kerjasama erat dengan RTM berjaya membantu kerajaan negeri menyalurkan pelbagai maklumat tepat dan sahih menerusi rangkaian radio dan televisyen berkenaan.

Beliau berkata peranan RTM sangat penting sebagai saluran penerangan rasmi kerajaan untuk rujukan orang ramai terutama ketika berita-berita palsu dalam talian semakin menular pada masa kini.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata warga kerja RTM perlu meningkatkan kreativiti dan inovasi, memandangkan cabaran dunia informasi kini semakin sarat dengan saingan.

“Walaupun ada banyak portal-portal terkini, RTM kekal relevan walaupun sudah menjangkau usia 75 tahun kerana ia mempunyai tanggungjawab besar dan sudah pasti hanya menyebarkan maklumat yang tepat dan benar,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili kerajaan negeri  merakam penghargaan kepada RTM atas komitmen dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat terutama berkenaan pandemik COVID-19.

Sambutan di PERLIS lebih bermakna kerana berlangsung di Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis yang baru yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Timbalan Pengarah RTM Perlis M. Parameswarie berkata mereka bakal berpindah sepenuhnya ke kompleks baharu itu bulan depan setelah hampir tiga dekad (29 tahun) menyewa di tingkat enam, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kangar sejak 1992.

Di JOHOR BAHRU, sambutan diwarnai dengan pementasan Bangsawan Johor FM dan persembahan lagu Dunia Pertama Selatan oleh kakitangan RTM Johor manakala di PERAK, dimulakan dengan pelepasan Konvoi Skuad Cakna Komuniti Perak FM, dan di TERENGGANU, sambutan disempurnakan Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Noor Hamzah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here