BUKIT MERTAJAM, 4 April — Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, di Jalan Casa Residensi, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata polis menyerbu kondominium mewah itu pada 1 tengah hari hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya sejak seminggu lepas dan menahan empat lelaki tempatan berusia 36 hingga 37 tahun.

“Serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Pulau Pinang dan siasatan awal mendapati premis yang disewa sindiket tersebut dijadikan ‘calling center’ atau pusat panggilan untuk pertaruhan perjudian online (dalam talian).

Sindiket itu menyasarkan penduduk tempatan terutama warga emas dan warga Indonesia sebagai pelanggan dengan menggunakan beberapa laman web (sesawang) perjudian online,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya sindiket itu menjadikan kondomonium mewah itu sebagai lokasi pusat panggilan sejak sebulan lepas dan mereka berpindah randah dari satu lokasi ke  lokasi yang lain bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Rahimi berkata siasatan juga mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi 24 jam sehari dengan pekerjanya bekerja secara shif dan menerima gaji RM3,000 setiap bulan.

Katanya dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan antaranya tiga unit monitor komputer, dua unit pemprosesan pusat komputer (CPU), modem, router dan dokumen serta peralatan lain yang dipercayai digunakan sindiket dalam operasi judi dalam talian itu.

“Sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit sehari daripada kegiatan perjudian online tersebut dan semua empat lelaki tersebut kini direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat menurut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(b) serta  Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas  akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan haram itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here