GEORGE TOWN, 8 Nov — Ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang terutama di bahagian tanah besar bermula hari ini hingga Ahad susulan tempias Taufan Nakri dan Taufan Matmo.
Exco Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata ramalan cuaca esok dan lusa menjangkakan hujan dan angin kuat antara jam 1 tengah hari hingga 10 malam dan air laut pasang sehingga 2.3 meter (m) pada jam 10.51 malam dan 2.4m pada jam 11.15 malam, Ahad.
“Berdasarkan pemantauan Taufan Matmo telah mencapai taufan kategori 3 dan bergerak pada kelajuan 140km sejam dengan angin ribut 155km sejam menuju ke arah Bangladesh dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, tiupan angin Taufan Nakri pula pada kelajuan 110km sejam dan ketika ini menuju ke arah selatan iaitu di Laut China Selatan.
Beliau berkata pihaknya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, beberapa kawasan di Bukit Mertajam, dekat sini, mengalami banjir kilat hari ini selepas hujan dengan purata 48mm selama dua jam bermula jam 9 pagi namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas air banjir kembali surut.
“Sebanyak 34 buah rumah di Kampung Jalan Bharu dan Kampung Tok Panjang dinaiki air kira-kira 0.3m manakala kawasan lain yang mengalami banjir kilat hanya melibatkan jalan dan air surut kira-kira jam 2.30 petang,” katanya.
Sementara itu, tinjuan Bernama di Kuala Muda, Penaga, dekat sini, mendapati masih terdapat nelayan turn ke laut namun mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berpatah balik jika berlaku angin kencang.
Ketua Unit Nelayan Kuala Muda, Ariffin Mat, 50, berkata komuniti nelayan di situ mengambil langkah berjaga-jaga ketika di laut selepas mendapat maklumat mengenai Taufan Nakri dan Taufan Matmo menerusi laporan akhbar serta media sosial.