SEREMBAN, 21 April  — Rakyat di Negeri Sembilan yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 diingatkan supaya tidak membatalkan janji temu ditetapkan pada saat akhir bagi memastikan Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini kerana pihaknya menerima laporan seramai 151 penerima vaksin tidak hadir untuk menerima suntikan dos bagi hari pertama fasa kedua program itu di dewan Majlis Bandaraya Seremban serta Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.

“Antara alasan diberikan ialah mereka tidak tahu tarikh menerima vaksin dan ada yang menukar fikiran untuk tidak divaksin,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah bermula 19 April lepas melibatkan golongan berisiko seperti warga emas, individu yang mempunyai sejarah penyakit (komorbiditi) dan Orang Kurang Upaya.

Setakat ini, sebanyak 44 peratus daripada rakyat Negeri Sembilan telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Aminuddin juga berkata penganjuran Mantai Perdana tahun ini tidak diadakan sebaliknya bertukar kepada konsep Mantai Asnaf Aidilfitri 2021 susulan situasi COVID-19 ketika ini.

Beliau berkata tiada jualan Mantai Perdana dilakukan namun penjualan daging secara individu masih diteruskan mengikut keperluan.

“Mantai yang diadakan sedikit berlainan pada tahun ini yang mana kita memberi sumbangan daging kepada keluarga asnaf serta orang yang memerlukan.

“Tiada jualan daging secara berpusat bagi mengelakkan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here