KUANTAN, 24 April — Kerajaan Pahang memberi amaran bahawa bazar Aidilfitri di negeri ini akan ditutup tiga hari jika terdapat pengunjung, peniaga atau petugas disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Abd Rahim Muda berkata penutupan itu adalah bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Beliau berkata pengunjung bazar yang membawa kanak-kanak di  bawah umur 12 tahun atau warga emas juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya kepada risiko keselamatan dan kesihatan golongan tersebut. 

“Setiap lot peniaga hanya dibenarkan menerima seorang pelanggan atau satu keluarga dalam satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan. Peniaga pakaian dan kasut juga perlu memastikan pelanggan tidak mencuba barangan jualan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Abd Rahim menambah kerajaan Pahang bersetuju membenarkan bazar Aidilfitri beroperasi mulai 12 tengah hari hingga 2 pagi, berdasarkan keputusan kerajaan Persekutuan melanjutkan waktu operasi perniagaan.

Katanya, semua pengunjung, peniaga dan petugas bazar juga wajib melakukan pemeriksaan suhu badan dan imbasan Kod QR MySejahtera selain menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk dan keluar. 

Selain itu, hanya individu dengan suhu badan di bawah  37.5 darjah Celsius akan dibenarkan masuk ke kawasan bazar dan setiap pengunjung termasuk kanak-kanak diwajibkan memakai pelitup muka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here