GEORGE TOWN, 13 Nov — Jambatan Pulau Pinang dan beberapa jalan di negeri ini akan ditutup kepada semua kenderaan selama 10 jam pada 24 Nov, sempena penganjuran Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM).

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Supt Wan Sharuddin Wan Omar berkata jambatan dan jalan yang terlibat akan ditutup mulai pukul 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi dan akan dibuka semula selepas acara larian tersebut tamat.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata kira-kira 25,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai larian itu dan akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu serta sekitar Quensbay Mall di Bayan Lepas.

“Bagi daerah Timur Laut, sebahagian Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dari arah pusat bandar menghala ke Jambatan Pulau Pinang akan ditutup dan kenderaan dilencongkan ke Jalan Ahmad Nor, Jelutong seterusnya melalui Jalan Sultan Azlan Shah dan terus ke Bayan Lepas,” katanya.

Katanya trafik dari bulatan Gelugor yang melalui Jalan Tunku Kudin menghala ke pusat bandar melalui Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu arah Jambatan Pulau Pinang akan dilencongkan ke Jalan Faraday, dengan Lebuh Tunku Kudin 1 akan ditutup sepenuhnya untuk ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Kenderaan dari Jalan Tunku Kudin menghala The Light atau Bayan Lepas melalui Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu akan menggunakan bahagian kiri lebuh raya tersebut sebelum dilencongkan ke Jalan Sultan Azlan Shah untuk ke pusat bandar atau Bayan Lepas,” katanya.

Wan Sharuddin berkata turut ditutup adalah susur masuk Jalan Sultan Azlan Shah dan N-Park di kedua-dua arah menghala Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu serta persiaran Bayan Indah ke Quensbay Mall atau Bayan Lepas.

Katanya penutupan ini turut melibatkan bulatan Gold Coast 1 dari perumahan Putra Palace, Jalan Persiaran Bayan Indah, simpang masuk Balai Polis Quensbay, bulatan Bayan Indah 3 keluar ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Ching Eu/Batu Maung.

“Semua jalan yang ditutup merupakan laluan ke kawasan Quensbay Mall dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke George Town dan semua kenderaan akan dilencongkan ke Jalan Sultan Azlan Shah serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya.

Katanya bagi daerah Seberang Perai Tengah, jalan yang ditutup ialah semua laluan susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah Jalan Perusahaan (Auto City), Lebuh Raya Utara Selatan dari arah utara dan selatan serta Jalan Perusahaan Perai.

Beliau menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dan merancang perjalanan lebih awal manakala mereka yang ingin menyaksikan atau menyertai acara dinasihat meletakkan kenderaan hanya di kawasan yang disediakan penganjur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here