KUALA LUMPUR, 30 April  — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bercadang untuk membuka saluran baharu bagi memudahkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dalam usaha sama, konsesi induk serta model francais di lapangan terbangnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata Agenda Pemerkasaan Bumiputera merupakan inisiatif yang dipupuk oleh pengendali lapangan terbang itu bagi menggalakkan penyertaan dan meningkatkan keterlihatan PKS Bumiputera di lapangan terbang MAHB.

“Saluran baharu ini memerlukan pelaburan modal yang sedikit tetapi menawarkan struktur kos perniagaan yang lebih mampan dan tahap keterlihatan yang tinggi di pintu masuk negara.

“Cadangan tersebut disambut baik dan kami menantikan tahap penyertaan yang lebih besar daripada PKS ini pada masa akan datang,” katanya dalam perutusan bersama Pengerusi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Laporan Kemampanan MAHB 2020 yang dikeluarkan hari ini. 

Sementara itu, dalam Laporan Tahunan MAHB 2020, Mohd Shukrie berkata kumpulan itu menghadapi cabaran terbesar pada tahun lepas kerana ia terpaksa menguruskan perniagaan di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan industri penerbangan global.

Kumpulan itu mengambil tindakan segera dan proaktif untuk memperkenalkan langkah pengurusan krisis yang akan menjamin kelangsungan dan kemampanan perniagaannya dengan tujuan untuk pulih daripada krisis selain bersedia bagi pertumbuhan serta transformasi pasca pandemik. 

Berdasarkan pelan jangka terdekat kelangsungan hidup dan pemulihan kumpulan, MAHB telah mengubahsuai Pelan Strategi dan Transformasi lima tahun, yang dikenali sebagai Future F.I.T., untuk memberi tumpuan terhadap pembinaan kapasiti serta keupayaan hari ini dalam usaha merebut peluang pasca pandemik.

Melalui fasa pertama Future F.I.T., fokus MAHB adalah untuk terus pulih daripada krisis dalam jangka pendek sehingga 2022. 

Selain itu, dalam fasa kedua mulai 2023 hingga 2025, tumpuan akan diberikan kepada pertumbuhan dan kemampanan perniagaan masa depan, tambah beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here