KUALA LUMPUR 7 Mei — Peguam mewakili Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bukan “luar biasa” bagi isteri bekas perdana menteri itu menerima hadiah seperti beg tangan berjenama daripada individu.

Peguam beliau Iskandar Syah Ibrahim, yang mencabar percubaan kerajaan untuk melucut hak barangan yang dirampas daripada Rosmah berkata, beg tangan tersebut merupakan hadiah yang diterimanya sebelum ini.

“Dalam afidavitnya (Rosmah) berkata, beliau menerima hadiah daripada individu yang dikenali dan tidak dikenali, termasuk daripada besan dan menantunya.

“Pegawai penyiasat Bukit Aman (Foo Wei Min) juga berkata bahawa siasatan polis mendapati majoriti beg tangan yang dirampas pada 17 Mei 2018 merupakan ‘hadiah’,” katanya.

Rosmah mencabar permohonan kerajaan untuk melucut hak 263 beg tangan, yang menurutnya merupakan milik beliau dan anaknya Nooryana Najwa Najib.

Kerajaan juga memohon untuk melucut hak beratus-ratus barangan lain yang dirampas daripada Najib Razak dan 17 individu serta syarikat. Ia termasuklah beg tangan, wang tunai pelbagai negara, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan.

Semasa pendengaran hari ini Iskandar menegaskan bahawa dana 1MDB tidak digunakan untuk membeli beg tangan Rosmah.

Kes pendakwaan tertumpu kepada wang daripada akaun bank Ambank, dan jejak wang selepas itu menunjukkan ia diagihkan kepada beberapa individu dan pertubuhan.

“Berhubung beg tangan Hermes, pihak pendakwaan gagal membuktikan di mana ia dibeli. Ia bukan beg tangan biasa yang boleh dibeli di komplek membeli belah biasa,” katanya.

Berkait percubaan kerajaan untuk melucut hak 27 pasang kasut daripada Nooryana, Iskandar memberitahu mahkamah bahawa Nooryana memperoleh pendapatan sewaktu bekerja di beberapa negara antara 2011 dan 2014.

“Pihak pendakwaan berhujah bahawa beban pembuktian terletak ke atas atasnya untuk menunjukkan beliau mampu membeli barangan tersebut.

“Kami berhujah bahawa beliau mampu membeli kasut tersebut, selain menerima hadiah beg tangan berjenama sebagai hadiah perkahwinan daripada suami (Daniyar Kessikbayez) dan mentua beliau,” katanya.

Peguam bersama Azamuddin Aziz, yang mewakili anak Rosmah, Nor Ashman Najib, memberitahu mahkamah bahawa tiada jejak wang yang menunjukkan dana 1MDB mengalir ke akaunnya atau wang itu digunakan untuk membeli jam tangan untuknya.

“Pendakwa berkata beliau tidak mampu membeli jam tangan tersebut kerana tidak menerima apa-apa pendapatan.

“Dalam afidavitnya, beliau mengesahkan menerima sebilangan jam tangan itu daripada bapanya (Najib) dan seorang kawan,” kata beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 18 Jun depan untuk timbalan pendakwa raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi menjawab hujah responden.

Mahkamah sebelum ini mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Najib, pegawai bank Ng Chong Hwa dan ibu Low Taek Jho, Goh Gaik Ewe yang juga dinamakan dalam permohonan pelucutan hak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here