PUTRAJAYA, 11 Mei  — Sebanyak 290,480 bebuli (vial) vaksin COVID-19 Sinovac yang dibotolkan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), akan digunakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara bermula hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, bekalan yang diterima itu merupakan kumpulan pertama yang diserahkan syarikat tersebut kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekarang kita berada di fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Seperti mana semua maklum, kita sudah terima 400,000 dos bekalan vaksin COVID-19 Sinovac terus dari Beijing, China.

“Baki daripada serahan kumpulan pertama ini juga akan digunakan di PPV dalam bulan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pengeluaran Pertama Vaksin COVID-19 Sinovac di Malaysia Secara ‘Fill and Finish’ di sini.

Pada Februari lepas, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, menerima 200 liter atau bersamaan 300,000 dos bekalan kelompok pertama vaksin Sinovac COVID-19 secara pukal, bagi proses validasi pengilangan kelompok.

Ia merupakan detik bersejarah bagi Malaysia dan amat penting kepada syarikat tersebut, dalam usaha mempelopori penghasilan vaksin dan sebagai kilang vaksin pertama yang menjalankan proses ‘fill and finish’ di Malaysia.

Bagi memastikan bekalan vaksin COVID-19 sentiasa mencukupi, Dr Adham berkata kerajaan sentiasa meneruskan rundingan dengan pengeluar AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech, dengan menyasarkan penerimaan 3.97 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech antara April hingga Jun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, sehingga kini PLS telah menyerahkan empat kelompok pertama untuk tujuan validasi serta kawalan kualiti oleh Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Setelah melalui beberapa ujian kawalan kualiti mengikut ketetapan NPRA, Alhamdulillah vaksin ‘fill and finish’ keluaran PLS, berjaya mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) Malaysia pada 23 April lepas,” katanya.

Zulkarnain berkata, pengeluaran vaksin secara ‘fill and finish’ kini berada pada tahap maksimum dan PLS mampu menghasilkan dua juta dos vaksin sebulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here