KUALA LUMPUR, 15 Mei — Memang umum tidak dapat nafikan, penguatkuasaan sepenuhnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan bagi memastikan seluruh rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama sewaktu sambutan perayaan; namun dalam apa jua keadaan, pasukan polis tetap gigih bertungkus lumus berkhidmat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Orang ramai pula dilihat masih ada yang seolah-olah mengambil ringan peraturan dan SOP yang ditetapkan apabila masih terdapat cubaan merentas daerah dan negeri selain berkumpul untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata setakat semalam, polis Selangor telah mengeluarkan 122 kompaun terhadap ketidakpatuhan SOP PKP.

Beliau berkata pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung bekas pegawai kanan polis yang melanggar SOP pada Hari Raya Aidilfitri pertama dengan menjemput enam pegawai polis ke rumahnya untuk beraya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim pula berkata pihaknya mengeluarkan kompaun kepada tiga warga asing yang cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran di beberapa sekatan jalan raya (SJR) di sekitar ibu kota.

Di TERENGGANU, 43 individu dikompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP semasa bersiar-siar dan mengambil gambar di kawasan pantai di Kuala Terengganu semalam, melibatkan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM172,000.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi penjarakan sosial ketika berada di kawasan pantai terutama di sepanjang Pantai Seberang Takir berdekatan Jambatan Angkat (Drawbridge) hingga ke Pantai Batu Buruk.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas 738 buah rumah pada hari raya pertama dan kedua di seluruh negeri, hanya dua individu yang dikompaun membabitkan kesalahan aktiviti ziarah.

Sementara itu, Ketua Polis KELANTAN Datuk Shafien Mamat berkata masih ada segelintir individu yang cuba merentas daerah dalam tempoh PKP di negeri itu dan pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada empat individu di Bachok kerana cuba merentas daerah tanpa surat kelulusan daripada polis semalam. 

Di PERAK, sejak Rabu hingga semalam, 116 kompaun telah dikeluarkan atas pelanggaran SOP PKP manakala 41 kompaun dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima 8,807 permohonan rentas daerah dan negeri dengan 8,647 permohonan diluluskan manakala 160 lagi tidak diluluskan disebabkan pelbagai alasan yang dikemukakan untuk rentas sempadan didapati tidak boleh diterima.

Di PAHANG, seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik di Pekan dikenakan kompaun RM4,000 kerana menerima kehadiran tetamu di rumahnya di Felda Chini 2 pada hari raya pertama. 

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata individu itu yang merupakan seorang kontraktor, mengaku bersalah semasa dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan bagi membantu siasatan petang semalam. 

Di NEGERI SEMBILAN, tiga kompaun dikeluarkan kepada tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun selepas mereka gagal mengemukakan surat kebenaran merentas negeri atau dokumen berkaitan ketika melalui SJR sejak Hari Raya pertama hingga semalam.

Di PULAU PINANG, seramai 25 lelaki dikenakan kompaun kerana ingkar arahan PKP termasuk berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah inap desa di Kepala Batas dalam operasi yang dijalankan pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mereka yang berkumpul di inap desa itu terdiri daripada 11 lelaki dan semua mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

Di JOHOR, sebanyak 23 kompaun telah dikeluarkan polis berkaitan pelanggaran SOP dalam tempoh dua hari sejak Hari Raya Aidilfitri pertama pada Khamis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 18 daripada kompaun itu adalah kerana kesalahan kunjung di hari raya dan tiga lagi kerana kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa surat kebenaran polis.

Di PUTRAJAYA, 16 kompaun dikeluarkan sejak 12 Mei sehingga semalam ekoran orang awam melanggar SOP PKP.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah aktiviti rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, pemilik premis gagal mengawal jumlah maksimum pelanggan dalam premis, gagal mendaftar butiran diri dan tidak mengimbas suhu badan.

PKP dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun ekoran peningkatan kes harian COVID-19 yang membimbangkan.

Di Wilayah Persekutuan LABUAN, polis menahan dan mengenakan kompaun terhadap empat individu kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat apabila didapati bersiar-siar di kawasan kembara popular di pulau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail berkata keempat-empat individu berkenaan dikesan oleh satu pasukan dari unit survelan COVID-19 yang menjalankan pemeriksaan di laluan kembara berbukit itu sebagai sebahagian operasi pemeriksaan SOP. 

Menurutnya orang ramai dilarang berada di laluan berkenaan dalam tempoh ini, dan masing-masing individu telah dikenakan kompaun RM2,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here