KUALA LUMPUR, 20 Mei — Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) menyokong sekatan pergerakan bagi tempoh dua hingga empat minggu bagi mengekang peningkatan kes COVID-19 walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sedang dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata sekatan pergerakan itu perlu dilakukan secara bersasar mengikut negeri atau zon dan bukan sekatan pergerakan secara total di seluruh negara.

“Meskipun FMFF menyokong perniagaan harus berjalan seperti biasa, hakikatnya jumlah kes masih belum berkurangan dan kemudahan perubatan kini sudah berada pada hadnya, walaupun pendekatan ad-hoc telah dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan untuk menangani lonjakan kes baharu. 

“Kemudahan perubatan perlukan ‘’circuit breaker’’ untuk memperlahankan jumlah kes agar perkhidmatan perubatan dapat dipulihkan dan nyawa dapat diselamatkan,” kata FMFF. 

Satu langkah yang dapat mengurangkan beban majikan dan pekerja yang mungkin terjejas akibat sekatan pergerakan, FMFF berkata kerajaan perlu terus menyediakan pakej rangsangan seperti yang diberikan ketika PKP 1.0.

FMFF turut menggesa kerajaan supaya mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan mewajibkan hospital dan klinik swasta melaksanakan usaha itu kepada orang ramai bagi memastikan lebih ramai orang divaksin dalam masa yang singkat.

Ia juga berharap agar kerajaan Selangor dapat mempertimbangkan dan memberikan vaksin secara percuma kepada kakitangan industri pelabuhan, maritim dan logistik di Selangor, memandangkan mereka tidak ramai dan kecil, merangkumi 90 peratus daripada perniagaan.

“Pelabuhan Klang adalah pelabuhan terbesar di Malaysia dan banyak perniagaan di Selangor bergantung kepada pelabuhan untuk pengurusan rantaian import dan eksport dan bekalannya.

“Syarikat-syarikat ini terpaksa membayar kos vaksinasi kakitangan mereka dan lebih rela menunggu vaksinasi percuma yang disediakan oleh kerajaan pusat,” katanya.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) sebaliknya tidak bersetuju dengan sekatan pergerakan sepenuhnya, dan berpendapat ribuan PKS akan gulung tikar, sekali gus akan menyebabkan pengulangan pemberhentian kerja. 

“Penyelesaiannya hanyalah dengan vaksinasi. Kebimbangan terhadap vaksin masih tinggi. Industri harus memainkan peranan kami bagi memastikan pekerja dan ahli keluarga mereka mendaftar untuk vaksinasi,” kata Pengerusi SAMENTA Pusat Datuk William Ng. 

Katanya usaha kerajaan itu akan lebih lancar dengan meminta bantuan kerajaan negeri dan memobilisasi  sektor swasta untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia dan meningkatkan pemberian vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here