KUALA LUMPUR, 26 Mei — Dalam tempoh 90 minit, satu juta slot untuk pusingan kedua tempahan janji temu vaksin AstraZeneca bagi rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun yang dibuka tengah hari ini telah penuh, walaupun terdapat banyak masalah teknikal ekoran keadaan trafik yang tinggi.

Menurut Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menerusi ciapan Twitternya pada 1.27 tengah hari, tempahan janji temu untuk vaksin telah ditutup dan mereka yang layak akan menerima tarikh janji temu tidak lama lagi.

Terdahulu, CITF memaklumkan bahawa lebih 300,000 slot untuk vaksinasi AstraZeneca telah ditempah pada jam 12.56 tengah hari, kurang dari satu jam selepas pendaftaran itu dibuka kepada orang ramai.

MySejahtera dalam ciapan di Twitter berasingan pada jam 12.40 tengah hari turut memaklumkan bahawa terdapat pemohon yang mungkin tidak dapat mengakses fungsi aplikasi tertentu berikutan kadar trafik yang tinggi dan menasihati pengguna untuk mendaftar masuk sekali lagi apabila keadaan trafik reda.

Tempahan janji temu AstraZeneca memerlukan pemohon untuk mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan ia boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, laman web CITF atau melalui talian hotline.

Sementara itu, seorang pengusaha satay Hezlinda Md Samsudin, 46, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat mendaftar bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca untuk dirinya dan anak perempuannya selepas 55 minit pendaftaran dibuka.

Hezlinda memaklumkan kepada Bernama, dia menyediakan dua komputer riba dan tiga telefon bimbit untuk mendapatkan slot bagi suami, anak dan dirinya dan telah menunggu sejak 11.45 pagi namun suaminya gagal mendapat slot.

Pengamal media Muhamad Erwin Zaid, 25, pula menyifatkan beliau antara yang bertuah apabila berjaya mendapatkan slot serta berpendapat kerajaan perlu menambah baik sistem pendaftaran yang agak mengelirukan.

Isnin lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pendaftaran akan dibuka pada tengah hari bagaimanapun, CITF menerusi Twitter hari ini memaklumkan pembukaan pendaftaran itu lewat 15 minit ekoran halaman tempahan vaksin masih dikemas kini.

Ramai pihak menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial disebabkan gangguan teknikal untuk proses tempahan tersebut.

Tempahan vaksin AstraZeneca dibuka untuk penduduk di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang berumur 18 tahun ke atas.

Pada 23 Mei lepas, slot tempahan vaksinasi AstraZeneca dibuka untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here