PUTRAJAYA, 22 Nov — Bilangan jawatan di sektor swasta naik 121,000 pada suku tahun ketiga 2019 kepada 8.7 juta jawatan berbanding 8.5 juta jawatan pada suku yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada suku ketiga tahun ini, kadar jawatan diisi adalah 97.7 peratus, merekodkan 8.4 juta berbanding 8.3 juta pada suku ketiga 2018, katanya.

“Sementara itu, kadar kekosongan adalah 2.3 peratus, dengan 203,000 kekosongan jawatan untuk tempoh yang sama berbanding suku ketiga 2018 iaitu 195,000,” katanya dalam satu kenyataan mengenai statistik guna tenaga, suku tahun ketiga 2019, di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata suku ketiga tahun ini menyaksikan 28,000 pewujudan jawatan berbanding 22,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya dalam sektor swasta.

Jawatan dalam kategori separuh mahir, katanya, naik 83,000 kepada 5.4 juta jawatan pada suku ketiga 2019, dengan kadar jawatan diisi adalah 98.0 peratus manakala kadar kekosongan 2.0 peratus.

Sementara itu, beliau berkata bagi jawatan dalam kategori mahir pula meningkat 42,000 berbanding tahun ke tahun kepada 2.1 juta jawatan, mewakili 24.5 peratus daripada jawatan keseluruhan.

“Kadar jawatan diisi adalah 97.5 peratus manakala kadar kekosongan pula 2.5 peratus. Sebanyak 10,000 pewujudan jawatan dalam kategori mahir, mencatatkan sumbangan 36.9 peratus,” katanya.

Jawatan dalam kategori berkemahiran rendah pula turun sebanyak 3,000 kepada 1.1 juta jawatan, dengan kadar jawatan diisi adalah 96.3 peratus manakala kekosongan sebanyak 3.7 peratus.

Dari segi sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata 51.7 peratus daripada jawatan adalah di sektor perkhidmatan, diikuti 26.4 peratus di sektor pembuatan, 15.2 peratus dalam sektor pembinaan, 5.7 peratus di sektor pertanian manakala 1.0 peratus di sektor perlombongan dan pengkuarian.

Kekosongan jawatan tertumpu di sektor pembuatan dengan sumbangan 55.7 peratus manakala sektor perkhidmatan adalah 20.3 peratus, katanya.

Sementara itu, 48.1 peratus daripada pewujudan jawatan pada suku ketiga 2019 adalah dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan 21.2 peratus dan pembinaan 18.6 peratus, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here