KUALA LUMPUR, 4 Jun — ProtectHealth, pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melantik IHH Healthcare Malaysia sebagai pengelola penjagaan kesihatan untuk menyediakan vaksinasi kepada orang ramai di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula 7 Jun.

Dalam kenyataan hari ini, IHH Healthcare Malaysia berkata ia akan menyediakan tenaga kerja dan sumber klinikal termasuk kelengkapan perlindungan diri dan peralatan perubatan untuk menilai, memvaksin dan memantau individu serta menguruskan hal kecemasan.

Pusat vaksinasi mega yang ditubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 itu, menyasarkan untuk memvaksin lebih ramai individu pada setiap hari tanpa risiko berlakunya kesesakan.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa berkata tenaga kerja daripada seluruh rangkaiannya di negara ini akan bekerjasama untuk menghulurkan bantuan di pusat vaksin mega berkenaan.

“Hospital Pantai, Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court dan cabang pendidikan International Medical University akan membantu pusat vaksinasi mega itu daripada awal pelaksanaan, sehinggalah keimunan masyarakat telah mencapai sasaran,” katanya.

Rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia menyediakan jumlah peruntukan katil unit rawatan rapi (ICU) melebihi dua kali ganda untuk untuk merawat pesakit COVID-19 dan meningkatkannya kepada 251 katil.

Malah, cabang makmalnya, Pantai Premier Pathology turut sentiasa meningkatkan kapasiti saringan COVID-19 dan menyediakan 200 katil untuk merawat pesakit bukan COVID-19 yang dipindahkan dari hospital kerajaan sejak awal tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here