KOTA KINABALU, 6 Jun  — Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) pada kongres luar biasa persatuan itu yang diadakan secara dalam talian hari ini. 

Beliau yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan sejak 14 Dis tahun lepas, dicalonkan oleh semua ahli gabungan membabitkan persatuan bola sepak daerah di seluruh negeri itu. 

Ketika berucap pada kongres itu, Bung Moktar mengucapkan terima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan semua ahli Majlis Tertinggi dan ahli gabungan SAFA untuk beliau memimpin persatuan sukan berkenaan.

“Dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha bagi memastikan SAFA terus maju mencapai sasaran bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, jawatan Presiden SAFA disandang ADUN Melalap Datuk Peter Anthony, namun beliau meletak jawatan pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata semua pihak perlu mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi bagi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Sabah. 

Beliau mengakui SAFA bakal berdepan pelbagai cabaran dan kesulitan berikutan penularan pandemik COVID-19 pada ketika ini, namun percaya melalui sokongan pelbagai pihak mereka boleh mencapai kejayaan sekali gus memajukan bola sepak Sabah.

“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

“Mudah-mudahan selepas pandemik COVID-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak negeri Sabah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik) Datuk Suhaimi Nasir dan Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA) Datuk Dr Jelani Hamdan turut menang tanpa bertanding, masing-masing jawatan Naib Presiden SAFA.

Berikut senarai terkini Ahli Jawatankuasa SAFA penggal 2019-2022: 

Presiden:

Datuk Seri Bung Moktar Radin 

Timbalan Presiden:

Datuk Juil Nuatim

Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria 

Naib Presiden :

Datuk James Wong

Datuk Dr Jelani Hamdan

Henry Saimpon

Datuk Suhaimi Nasir 

Setiausaha Agung :

Benedict Asmat 

Penolong Setiausaha Agung:

Azman Mastar 

Bendahari  Kehormat:

Jasnih Daya 

Setiausaha Eksekutif:

David Wisom 

Ahli Majlis Tertinggi:

Shamsuddin Mohd Shah

Othman Abdullah

Jimson Majemal

Jackson Taguah

Mustapha Tuah

Marasun Hassim

Salleh Abd Ghapur

Fadli Juanas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here