KUALA LUMPUR, 28 Nov — Pengilang produk berasaskan kayu Malaysia berpotensi menjana lebih RM118 juta nilai eksport syarikat masing-masing menerusi program pemadanan perniagaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam kenyataan hari ini, MATRADE berkata 93 pengeluar Malaysia telah dipadankan dengan 63 pembeli dari 14 negara baru-baru ini menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP)

“INSP yang berlangsung pada Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2019, 20 Nov lepas, menyaksikan MATRADE menyelaraskan 472 pertemuan perniagaan yang menjurus kepada kejayaan syarikat Malaysia menjana lebih RM118 juta nilai eksport untuk peniagaan mereka,” katanya.

Pembeli yang menghadiri INSP adalah dari China, Korea Selatan, India, Mauritius, Sri Lanka, Maldives, Bangladesh, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Mexico, Perancis dan Poland.

Produk yang dibeli oleh syarikat asing termasuk pintu kayu, kayu gergaji, papan lapis, venier, lantai kayu dan produk perabut.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pembinaan dan Perniagaan MATRADE Rusiah Mohamed berkata INSP menyediakan platform yang kos efektif kepada syarikat Malaysia untuk bertemu pembeli global dengan selesa.

“Selain bertemu pembeli berpotensi dari seluruh dunia, inisiatif ini membantu syarikat Malaysia mengumpul pelbagai pandangan mengenai keperluan pembeli global yang merupakan elemen penting untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here