KOTA KINABALU, 11 Jun — Sabah menyekat buat sementara waktu aktiviti eksport besi buruk untuk memastikan bahan mentah yang mencukupi bagi mengekalkan operasi industri keluli tempatan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata larangan itu akan ditamatkan apabila mekanisme untuk pengenaan Cukai Jualan Negeri sebanyak RM200 per tan metrik ke atas eksport besi buruk dirumuskan.

Bagaimanapun, katanya, eksport logam sekerap seperti tembaga, aluminium, logam berharga seperti platinum, emas, titanium dan keluli tahan karat dikecualikan daripada larangan itu.

“Kabinet negeri mengambil keputusan itu kerana terdapat kekurangan bahan mentah untuk pengeluaran bilet dan rebar di Sabah.

“Dengan lebih banyak bahan mentah yang tersedia, kita akan melihat pengeluaran bilet dan rebar yang lebih besar, seterusnya menstabilkan harga rebar yang pada masa ini begitu tinggi menjadikan kos pembinaan di Sabah mahal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata industri keluli memberi sumbangan besar kepada ekonomi Sabah dan pada masa ini menyediakan 500 pekerjaan dengan gaji bulanan purata RM2,000 setiap pekerja.

Beliau berkata bekalan bahan mentah yang mencukupi mendorong pengembangan pelaburan yang akan menyaksikan peningkatan kapasiti pengeluaran daripada 8,000 tan menjadi 18,000 tan sebulan.

Selain itu, katanya, ia juga akan membolehkan loji bilet sedia ada memperluaskan operasi kepada mengeluarkan ‘wire rod’ yang memerlukan pelaburan keseluruhan kira-kira RM40 juta.

Menurutnya, pengusaha kilang bilet tempatan juga merancang untuk melabur semula dengan membina satu lagi kilang di bahagian pantai timur negeri yang akan menelan belanja kira-kira RM20 juta.

“Aktiviti pelaburan tambahan bernilai RM60 juta ini akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada kira-kira 400 orang di Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here