Bidaan Siri Nombor Plat “FH” Dibuka Ahad Ini – KP JPJ

PUTRAJAYA, 30 Jan — Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka tawaran Nombor Pendaftaran Istimewa Siri FH secara bidaan dalam talian selama lima hari bermula Ahad ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata orang awam boleh membuat tawaran bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘FH 1 hingga FH 9999’ melalui Sistem JPJeBid yang akan ditutup pada 10 malam pada 5 Feb.

“Pengenalan NPI ‘FH’ adalah sangat signifikan sebagai simbolik bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta menghargai peranan dan sumbangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam pembangunan negara.

“Tarikh keputusan bagi NPI ‘FH’ adalah pada 6 Feb iaitu dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NPI ‘FH’ Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi.

Aedy Fadly berkata harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu nombor utama RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (running) (RM300).

“Kaedah penawaran secara bidaan ini tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya.