TOKYO, 17 Sept — Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Khamis merombak Kabinetnya dengan mengekalkan ramai menteri utama bagi memastikan kesinambungan, selain membawa masuk muka baharu daripada rakan gabungannya dalam kerajaan, lapor Kyodo News.
Rombakan Kabinet pertama sejak Takaichi memegang jawatan tahun lepas itu dibuat menjelang sidang Parlimen luar biasa pada Oktober ini.
Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara, Menteri Luar Toshimitsu Motegi, Menteri Kewangan Satsuki Katayama, Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi serta Menteri Dasar Ekonomi dan Fiskal Minoru Kiuchi mengekalkan jawatan masing-masing.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yoshimasa Hayashi digantikan oleh Hisayuki Fujii, ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokratik Liberal (LDP).
Hayashi, 65, yang pernah menjadi orang kanan bekas Perdana Menteri Fumio Kishida dan sebelum ini memegang portfolio luar serta pertahanan, secara meluas dianggap sebagai calon berpotensi dalam pemilihan kepimpinan LDP tahun depan.
Hayashi bersama-sama Motegi, 70, dan Koizumi, 45, semuanya tewas kepada Takaichi, 65, dalam pemilihan kepimpinan LDP sebelum ini. Dengan dua daripada pesaing perdana menteri itu kekal dalam Kabinet, keadaan itu akan menyukarkan mereka untuk menentangnya.
Hiroshi Nakatsuka, bekas setiausaha agung Parti Inovasi Jepun (JIP), dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi reformasi kawal selia, reformasi pentadbiran dan dasar berkaitan kanak-kanak, sekali gus menjadi menteri pertama daripada rakan gabungan junior LDP itu.
JIP yang berpangkalan di Wilayah Osaka membentuk gabungan dengan LDP pada 20 Okt, sekali gus memastikan Takaichi memperoleh jawatan perdana menteri menerusi undian Parlimen pada hari berikutnya.
Sokongan terhadap Kabinet Takaichi, perdana menteri wanita pertama Jepun, kekal sekitar 50 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas bermula pada kira-kira 70 peratus.
Sebelum rombakan Kabinet itu, Takaichi pada Rabu turut merombak barisan kepimpinan LDP dengan mengekalkan beberapa tokoh utama termasuk Naib Presiden Taro Aso, bekas perdana menteri yang berpengaruh, serta Setiausaha Agung Shunichi Suzuki.
Susulan rombakan itu, kerajaan Takaichi dan LDP akan membuat persediaan bagi sidang Diet luar biasa yang dijangka bermula pada 5 Okt. Sidang itu antara lain akan membincangkan rancangan mengurangkan cukai penggunaan bagi makanan dan minuman daripada lapan peratus kepada satu peratus bagi tempoh dua tahun bermula April.
Antara agenda lain yang dijangka dibincangkan ialah rang undang-undang reformasi politik yang mencetuskan kontroversi, bertujuan mengurangkan jumlah kerusi Dewan Rendah. Rang undang-undang itu ditangguhkan untuk perbincangan lanjut selepas dikemukakan blok pemerintah pada sidang Diet sebelum ini dan menerima kritikan keras daripada parti pembangkang.













Tinggalkan Balasan