PHNOM PENH, 19 Nov — Malaysia dan Kemboja berhasrat memperkukuh kerjasama antara parlimen sebagai antara keutamaan menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sedang dalam lawatan dua hala ke Kemboja berkata kedua-dua negara menikmati hubungan mesra, khususnya selepas Malaysia memainkan peranan sebagai pengantara dalam mencapai perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berhubung pertikaian sempadan tahun lepas.
“Kepimpinan Kemboja amat gembira dan berterima kasih kepada Malaysia atas usaha yang dilakukan ketika konflik itu.
“Kami juga ingin menjemput Presiden Senat Hun Sen ke Malaysia dan beliau bersetuju untuk hadir kerana mahu menyampaikan penghargaan kepada Malaysia yang menjadi pengantara dalam gencatan senjata berkenaan.
“Lawatan saya dan lawatan beliau (Hun Sen) juga bertujuan memperkukuh diplomasi parlimen, khususnya di peringkat Senat Kemboja dan Dewan Negara,” kata beliau kepada pemberita di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh pagi Khamis.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja terjalin pada 31 Ogos 1957, iaitu pada hari yang sama Kuala Lumpur mengisytiharkan kemerdekaan.
Selain bertemu Hun Sen yang juga bekas Perdana Menteri Kemboja, Nur Jazlan turut mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Perdana Menteri Hun Manet, Timbalan Perdana Menteri Prak Sokhonn dan Naib Presiden Pertama Senat Ouch Borith.
“Menyentuh isu dua hala, mereka mahu lebih banyak pelaburan dari Malaysia, khususnya dalam sektor keterjaminan makanan.
“Kemboja mempunyai kawasan tanah yang luas serta tenaga kerja yang ramai dengan kos berpatutan. Pelaburan dari Malaysia boleh membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada petani dan memodenkan sektor pertanian,” kata beliau.
Nur Jazlan berkata satu lagi agenda utama lawatan itu ialah memperkukuh kumpulan persahabatan sedia ada antara anggota Senat Kemboja dan Dewan Negara Malaysia yang disifatkannya sebagai platform komunikasi penting bagi kedua-dua pihak.
Nur Jazlan tiba di Phnom Penh pada Isnin dan dijadual berlepas pulang pada Jumaat.
















Tinggalkan Balasan