China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk merangka satu pelan tindakan hubungan konstruktif untuk kestabilan strategik berteraskan prinsip saling menghormati, adil serta saksama.
Persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan antara Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump di Shenzhen pada Khamis, sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.
Dalam pertemuan itu, Xi menegaskan bahawa hubungan kedua-dua negara secara keseluruhannya berada pada landasan stabil dan semakin baik, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, serta menyuntik kestabilan dan kepastian kepada dunia.
“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan Presiden Trump untuk mengemudi hala tuju hubungan China-AS agar ‘bahtera besar’ ini sentiasa belayar di laluan yang tepat,” kata Xi.
Mengulas lanjut, Xi berkata kunci utama bagi mengekalkan momentum positif adalah dengan menterjemahkan konsensus pemimpin kepada tindakan nyata, termasuk memanjangkan senarai kerjasama dan memendekkan senarai pertikaian.
Beliau turut menggesa kedua-dua negara agar memperkukuh komunikasi dalam bidang ekonomi serta perdagangan demi manfaat bersama, selain menyelaras usaha membendung risiko keselamatan kecerdasan buatan (AI) supaya teknologi itu kekal di bawah kawalan manusia.
Sementara itu Trump merakamkan penghargaan atas sambutan mesra pihak Beijing dan menyifatkan hubungan perdagangan serta pelaburan antara AS dengan China terus mencatat peningkatan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak perlu mengekalkan momentum perkembangan stabil tersebut dengan memperluas kerjasama dalam bidang produk pertanian, tenaga dan kecerdasan super, selain menangani kebimbangan masing-masing secara adil.
Trump turut mengulangi pendirian bahawa AS tidak menyokong kemerdekaan Taiwan.
Kedua-dua pemimpin berpendapat bahawa rundingan kali ini adalah positif dan konstruktif.










Tinggalkan Balasan