KUALA LUMPUR, 23 Feb — Gadang Engineering (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Gadang Holdings Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM95.14 juta yang menjadi sebahagian daripada projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Gadang menyatakan anak syarikat berkenaan telah menerima surat setuju terima (LOA) daripada AFA Construction And Engineering Sdn Bhd.
Tempoh pelaksanaan kontrak berkenaan adalah selama 18 bulan dan dijadual siap pada separuh kedua 2027.
Menurut syarikat itu, Gadang Engineering akan berperanan sebagai kontraktor Pakej 1A projek dikenali sebagai “Cadangan Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari kilometer (KM) 19.20 sehingga KM39.00 (Seksyen 1) dan KM39.00 ke KM64.50 (Seksyen 2)”.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Gadang serta anak syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak berkenaan.
“Risiko berkaitan kontrak itu adalah operasi serta pelaksanaan yang biasa dan kumpulan akan menanganinya dengan langkah yang bersesuaian,” katanya.

















Tinggalkan Balasan