KUALA LUMPUR, 26 Feb — Platform pembayaran perdagangan rentas sempadan perniagaan ke perniagaan, XTransfer telah menerima kelulusan bersyarat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk lesen pembayaran utama seperti pengeluaran wang elektronik dan lesen perkhidmatan kewangan (Kelas A) meliputi pengiriman serta pertukaran mata wang.
Setelah melengkapkan syarat pra-penerbitan dan kebenaran untuk dilancarkan, XTransfer merancang memperkenalkan perkhidmatan pembayaran digital di Malaysia yang direka bagi menyokong perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa.
“Perkhidmatan ini bertujuan merangkumi orientasi yang diperkemas, pilihan pembiayaan yang mudah, pertukaran asing yang cekap dan pengalaman pengiriman wang serta penyelesaian yang selamat, dengan tumpuan pada pematuhan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, membantu PKS Malaysia mengurangkan cabaran dalam urus niaga ketika mereka memasuki koridor serantau termasuk pasaran baru muncul,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bill Deng berkata pemberian kelulusan bersyarat daripada BNM adalah satu peristiwa penting bagi XTransfer di rantau ASEAN.
“Kami berharap dapat membawa penyelesaian pembayaran yang patuh dan cekap kepada perniagaan Malaysia yang akan membantu perdagangan bergerak lebih pantas selain mampu dijangkakan, seiring dengan pengembangan berterusan laluan perdagangan intra-Asia dan Selatan-Selatan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga merupakan pusat kepada strategi serantau XTransfer, dengan rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab operasi serantaunya, berfungsi sebagai pusat kawalan strategik di Asia Tenggara, menyelaraskan pematuhan, pengurusan risiko, sokongan pelanggan dan operasi global bagi memastikan penjajaran dengan piawaian tempatan dan kumpulan secara meluas.
“Malaysia memberi kami bakat, persekitaran tadbir urus dan kedekatan serantau untuk peluasan ke seluruh rantau ini,” katanya.
XTransfer yang ditubuhkan pada 2017, amat komited dalam penggunaan teknologi untuk merapatkan institusi kewangan besar dan PKS di seluruh dunia, menyediakan penyelesaian pembayaran perdagangan rentas sempadan termasuk kutipan dana yang selamat, patuh, cepat, mudah dan berkos rendah.
















Tinggalkan Balasan