KUALA LUMPUR, 9 Sept — TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) terus melabur bagi meningkatkan kebolehpercayaan terhadap aset penjanaannya yang sedia ada dan pada masa sama memperluas projek tenaga boleh baharu (TBB) dan penyimpanan tenaga.
Antara projek itu ialah hibrid hidro-solar terapung yang menggabungkan kapasiti solar terapung sebanyak 595 megawatt (MW) dengan sistem penyimpanan bateri berkapasiti 1,190 megawatt-jam (MWh), yang disasarkan siap pada 2028.
Projek bernilai RM1.96 bilion itu terletak di Empangan Tasik Kenyir, Terengganu, dengan kemudahan berkenaan dijangka menjadi loji tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara apabila siap.
“Sebagai pengeluar tenaga terbesar Malaysia, TNB Genco berperanan penting untuk membentuk campuran tenaga negara,” kata Pengarah Urusan TNB Genco Datuk Shahrir Abdul Latiff.
Sehubungan itu, strategi transformasi TNB Genco memfokuskan kepada tiga bidang utama secara serentak iaitu mengekalkan kebolehpercayaan terhadap aset penjanaan sedia ada, membangunkan kapasiti TBB dan penyimpanan tenaga bagi menyokong peralihan tenaga serta membangunkan keupayaan dalam teknologi baharu untuk jangka panjang.
Pendekatan itu mencerminkan komitmen lebih luas TNB untuk memajukan peralihan tenaga Malaysia di samping memastikan tahap kebolehpercayaan yang diperlukan negara terus terpelihara.
“Kebolehpercayaan dan kemampanan perlu dicapai sebagai matlamat yang saling melengkapi dan bukannya keutamaan yang saling bersaing.
“Langkah ini selaras dengan pendekatan TNB Genco untuk mengekalkan kebolehpercayaan sistem dan pada masa sama memajukan peralihan kepada infrastruktur tenaga yang lebih bersih,” katanya pada Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026 baru-baru ini.
Shahrir berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Pioneering the Future: Next-Gen Renewables and Clean Fuels,” yang turut disertai wakil daripada Sarawak Energy, Malakoff Corporation Bhd dan Pusat Tenaga ASEAN.
Sesi berkenaan antara lainnya membincangkan pendekatan yang diperlukan untuk memperluas penggunaan penyelesaian tenaga bersih yang sedang berkembang, termasuk tahap kesiapsiagaan teknologi, integrasi sistem, daya maju komersial serta rangka kerja dasar dan pelaburan yang diperlukan untuk membawa penyelesaian itu daripada peringkat inovasi kepada penggunaan secara meluas.
















Tinggalkan Balasan