Langit Yang Menyentuh Hati, Industri Penerbangan Selamatkan Penumpang Terkandas

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah yang telah mencetuskan kekacauan dalam industri penerbangan dan menyebabkan ribuan pelancong terkandas, amat menyentuh hati apabila melihat komuniti penerbangan global berganding bahu untuk memindahkan penumpang dengan selamat ke destinasi masing-masing.

Malaysia menerima kumpulan pertama penumpang yang terkandas dari Timur Tengah, khususnya dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.

Mereka terkandas sejak 28 Feb, 2026 apabila konflik berkenaan bermula.

Lebih banyak rancangan penyelamatan sedang dilaksanakan.

Semangat solidariti jelas kelihatan dalam beberapa hantaran media sosial yang menunjukkan pesawat pejuang dari UAE mengiringi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) bagi memastikan keberangkatan yang selamat melalui ruang udara yang tidak menentu.

Satu daripada video mengenai pelepasan penerbangan itu yang dimuat naik di akaun Instagram Emirates Business telah meraih 857,000 tanda suka dan lebih 612,000 perkongsian.

Seorang pengguna Instagram yang dikenali sebagai Socorro Morake mengulas: “Saya melihat pesawat pejuang dari tingkap pesawat yang saya naiki ketika kami mendarat pada 4 Mac di DXB. Suatu keistimewaan, inilah cara kepimpinan melindungi penduduk dan pelancongnya.”

Seorang lagi pengguna, Mia Lambonao menulis: “Terima kasih kerana melindungi kami” manakala Mantap Spa & Wellness Centre dari Indonesia pula menulis: “Terima kasih banyak.”

Walaupun berdepan risiko dan cabaran operasi, syarikat penerbangan di seluruh dunia telah menggerakkan usaha luar biasa bagi memindahkan penumpang yang terkandas dan membawa mereka pulang dengan selamat.

Selain syarikat penerbangan komersial, kerajaan-kerajaan juga telah mengatur misi penghantaran pulang rakyat masing-masing.

Negara termasuk Malaysia, Jerman, Perancis, Poland, Switzerland dan New Zealand telah melancarkan usaha penghantaran pulang manakala beberapa negara lain bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan untuk mendapatkan tempat duduk dalam penerbangan bagi warganegara yang terkandas.

Selain misi penyelamatan, syarikat penerbangan yang tidak terjejas oleh zon konflik juga meningkatkan penerbangan masing-masing untuk memindahkan penumpang di seluruh dunia yang turut terjejas akibat penutupan ruang udara di Timur Tengah.

Gelombang serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel yang kini telah memasuki beberapa hari berturut‑turut, bersama-sama dengan serangan balas oleh Iran terhadap sasaran di seluruh Timur Tengah telah menyebabkan penutupan sebahagian besar ruang udara di rantau itu serta gangguan besar kepada penerbangan di seluruh dunia.

Serangan dan langkah penutupan ini memberi impak kepada laluan udara utama menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan, disekat atau dialihkan serta meninggalkan ramai penumpang terkandas dan menjejaskan operasi syarikat penerbangan global.

Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik meletus pada 28 Februari termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE.

 Penutupan ini menyebabkan gangguan besar dalam perjalanan udara, memaksa syarikat penerbangan mencari laluan alternatif atau membatalkan penerbangan serta meninggalkan banyak penumpang terkandas.

Perlu diambil perhatian bahawa rantau ini merupakan hab penerbangan yang penting serta menghubungkan Asia ke Eropah dan sebaliknya.

Kementerian Luar Malaysia berkata pihaknya kini bekerjasama dengan misi diplomatik negara, kerajaan-kerajaan di Timur Tengah dan syarikat penerbangan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas selepas penghentian penerbangan dan penutupan ruang udara di rantau tersebut.

Malaysia Airlines telah menambah penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur–London Heathrow Airport (LHR) dan Kuala Lumpur–Paris Charles de Gaulle Airport (CDG) dari 6 hingga 8 Mac bagi menyokong pelancong yang terjejas dengan gangguan semasa.

Usaha ini menerima maklum balas positif daripada orang ramai. Seorang pengguna X, Brett Ray dari Australia mengulas: “Mereka (Malaysia Airlines) merupakan satu daripada syarikat penerbangan kegemaran saya.”

Menurut laporan berita, kira-kira 27,000 penerbangan ke Timur Tengah telah dibatalkan sejak Sabtu lepas, menjejaskan ribuan penumpang.

Bukan sekadar misi pemindahan, kerajaan Qatar dan UAE juga menawarkan penginapan dan makanan percuma kepada pelancong yang terkandas akibat penutupan ruang udara serantau secara tiba-tiba, satu usaha kemanusiaan yang patut dipuji.

Sebaliknya, Lufthansa Group juga bekerjasama rapat dengan kerajaan dan kementerian luar negara untuk menghantar pulang penumpang yang terkandas kerana situasi keselamatan masih tidak menentu.

Kumpulan penerbangan itu mengendalikan penerbangan penghantaran pulang khas dari Muscat, ibu kota Oman ke Frankfurt bagi pihak kerajaan Jerman.

Laporan berita turut menyatakan warganegara Eropah telah pulang ke Itali, Austria, Slovakia dan Bulgaria melalui sekurang-kurangnya enam penerbangan yang disokong oleh Suruhanjaya Eropah.

New Zealand telah menghantar dua pesawat tentera iaitu jenis C-130J Hercules ke Timur Tengah bagi operasi pemindahan.

Kanada juga telah menyewa penerbangan khas untuk membawa ratusan warganya dari Dubai dan Beirut ke Istanbul sebagai sebahagian daripada usaha pemindahan mereka.

Pesawat yang dahulunya membawa pelancong dan penumpang perniagaan kini menjadi talian hayat dengan membawa bantuan, ketenangan dan janji untuk bertemu semula dengan insan tersayang di rumah.

Mungkin inilah yang menjadikan detik ini begitu bermakna iaitu penerbangan bukan sahaja menghubungkan bandar-bandar, tetapi juga menghubungkan kemanusiaan.