MELAKA, 17 April — Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin antara yang diterima kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu, diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, malam ini.
Beliau berkata turut diterima kembali tanpa syarat ialah bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar serta 6,252 bekas pimpinan dan ahli peringkat Bahagian serta Cawangan dari seluruh Malaysia.
“Ini semua nama-nama yang telah pun dibawa ke Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Khaled Nordin dan diangkat kepada Majlis Tertinggi tadi. Dari segi perlembagaannya, semua ini memang kena melalui Majlis Tertinggi,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata MT UMNO turut membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian parti dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama golongan muda, bermula Isnin ini.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan tinjauan dilakukan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di media sosial yang mendapati kira-kira 2,800 golongan muda berminat menyertai parti itu dalam tempoh dua minggu lepas.
Mengenai isu kos sara hidup, Asyraf Wajdi berkata MT UMNO menyarankan negeri yang diterajui pimpinan parti iaitu Johor, Melaka, Perak dan Pahang supaya memfokuskan bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang berdepan cabaran kos sara hidup, akibat krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Mengenai Sambutan 80 Tahun UMNO, beliau berkata pelbagai program akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei, termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan termasuklah Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat malam ini turut memberi kebenaran kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara fizikal dan dalam talian bagi tahun yang tidak melibatkan pemilihan parti, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.
















Tinggalkan Balasan