Selat Hormuz Kembali Ke Situasi Sebelum Ini, Di Bawah Kawalan Tentera – IRGC

ISTANBUL, 18 April — Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dalam kenyataan pada Sabtu mengumumkan Selat Hormuz telah kembali ke keadaan sebelum ini iaitu di bawah kawalan angkatan tenteranya, menyatakan sekatan berterusan Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan Iran (sebagai punca), lapor Anadolu Ajansi, menurut agensi berita separuh rasmi kerajaan Tasnim.

Sehingga AS “memulihkan kebebasan penuh pergerakan bagi kapal yang melakukan perjalanan ke dan dari Iran, keadaan di Selat Hormuz akan kekal dikawal ketat dan tidak berubah,” menurut IRGC.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Jumaat mengisytiharkan selat itu “terbuka sepenuhnya” untuk semua kapal komersial.

Keputusan berkenaan dibuat “selaras dengan gencatan senjata di Lubnan,” katanya pada platform X.

Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran dan Tehran bertindak balas dengan serangan ke atas Israel serta negara serantau lain yang menempatkan aset AS.

Perang telah ditangguhkan selama dua minggu susulan gencatan sejak 8 April, dengan Pakistan menjadi pengantara rundingan.

Washington dan Tehran mengadakan perbincangan di Pakistan hujung minggu lepas ke arah keamanan berkekalan dan usaha untuk satu lagi sesi di Islamabad sedang dijalankan.