China Terus Sediakan Peluang Baharu kepada Selatan Global Melalui Pembangunan Berkualiti Tinggi

China sedaya upaya memberi sumbangan kepada pembangunan global sejak sekian lama. Dalam kerangka Inisiatif Pembangunan Global (GDI) yang dikemukakan China yang meletakkan pembiayaan kewangan untuk pembangunan sebagai satu tumpuan kerjasama, terdapat lebih USD23 bilion (RM91 bilion) yang telah diaktifkan sebagai dana pemaju untuk menyokong pembangunan di negara-negara Selatan Global. 

Demikian dinyatakan Naib Ketua Delegasi China, Li Xiaomei ketika menjelaskan pendirian dan konsep yang diamalkan negaranya dalam satu seminar yang bertemakan pembangunan mampan serta hak ekonomi, sosial dan budaya semasa berlangsungnya sesi ke-61 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Ahad. 

Li berkata, pelbagai draf resolusi yang diketengahkan China dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB menumpukan kepada hak ekonomi, sosial dan budaya serta pemeliharaan hak asasi manusia melalui pembangunan, dan dilihat sebagai penggerak baharu bagi kerjasama saling menguntungkan pelbagai pihak. Sementara itu, China proaktif dalam berkongsi konsep dan amalan dalam bidang hak asasi manusia serta menyediakan platform baharu bagi latihan bakat dan pembinaan keupayaan negara-negara membangun.

Menurut Li, matlamat dan petunjuk utama serta tugasan strategik penting bagi pelaksanaan Rancangan Lima Tahun Ke-15 (2026-2030) Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China akan diumumkan secara berturut-turt semasa berlangsungnya sesi tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) 2026 pada masa sekarang. 

“China bersedia untuk terus menyediakan peluang baharu kepada Selatan Global melalui pembangunan berkualiti tinggi, di samping membantu negara-negara dari blok itu merealisasikan hak asasi manusia seperti hak pembangunan dan hak ekonomi, sosial serta budaya dengan lebih baik sehingga memastikan tiada negara mana-mana pun yang tercicir,” tambah beliau.