Konflik Asia Barat: KPDN Perkukuh Penguatkuasaan Berasaskan Risikan Kekang Penyelewengan RON95

PUTRAJAYA, 12 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat penguatkuasaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara melalui pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan (Intelligence-Led Enforcement) bagi memastikan subsidi berkenaan tidak diseleweng mana-mana pihak.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata langkah itu bertujuan memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pelaksanaan BUDI95.

Beliau berkata konflik di Asia Barat perlu diberi perhatian serius kerana isu itu menyebabkan lonjakan harga minyak global, sekali gus dipercayai menarik minat pihak luar untuk mendapat bekalan petrol murah di Malaysia berbanding negara lain. 

“Kami akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan berasaskan kepada risikan dan kami akan terus juga memperkukuh kawalan di pintu-pintu sempadan,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif bersama dengan Bernama baru-baru ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei ini.

Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, Perdana Menteri berkata beliau telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta KPDN untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Sementara itu, Azman berkata pihaknya juga memperkukuh kawalan dan pemantauan di stesen-stesen minyak di seluruh negara supaya tidak berlaku ketirisan melalui apa-apa jua modus operandi baharu.

Katanya, KPDN mempunyai 2,400 pegawai penguat kuasa yang sedia digerakkan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan keupayaan mereka akan sentiasa dipertingkatkan antaranya melalui teknologi untuk memastikan kejayaan setiap operasi.

“Kami akan terus memperkukuh kawalan dan juga pemantauan supaya subsidi yang diperuntukkan kepada rakyat kita ini benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat tanpa sebarang ketirisan dan juga penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata KPDN juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan lain bagi membanteras penyelewengan subsidi.

“Kerjasama ini melibatkan perkongsian maklumat risikan, operasi bersepadu dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau memberikan amaran tegas bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan petrol bersubsidi. 

“Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil termasuk siasatan, rampasan dan pendakwaan di mahkamah.

“KPDN menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.